Kanak-kanak 2 tahun maut tertembak diri sendiri


SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Texas terbunuh selepas tertembak dirinya sendiri menggunakan pistol ditemui dalam beg sandang seorang ahli keluargnya, kata pihak berkuasa.

Ia insiden terbaru membabitkan kematian kanak-kanak akibat senjata api di Amerika Syarikat (AS). Kejadian seumpama itu menjadi perkara tragik yang biasa berlaku di negara itu.

Mangsa dari bandar Waco itu mengalami kecederaan di kepalanya dan dibawa ke hospital, menurut laporan polis tempatan.

Penyiasat percaya kanak-kanak itu tidak sengaja tertembak diri sendiri.

Selepas insiden itu, ahli keluarga yang memiliki senjata berkenaan melarikan diri dengan pistol berkenaan, tetapi kemudian pulang dan ditahan. Suspek berusia 21 tahun itu didakwa atas kesalahan mencemar bukti.

Menuerut persatuan pendesak kawalan senjata, Everytown For Gun Safety seramai 765 terbunuh dan lebih 1,500 yang lain cedera sepanjang tempoh 2015-2020 dalam insiden “tembakan tidak sengaja” dilakukan kanak-kanak.

Seramai 111 terbunuh tahun ini saja. Kumpulan itu menggelar insiden tembakan seumpama itu sangat menyayat hati dan menjadi epidemik keganasan senjata api di AS.

“Setiap tahun, ratusan kanak-kanak di AS terdedah kepada senjata yang tidak selamat, berisi peluru di dalam almari dan laci meja, beg sandang dan beg tangan,” kata kumpulan itu.

Perlembagaan AS menjamin hak untuk mempunyai senjata api dan 30% golongan dewasa AS mempunyai sekurang-kurangnya sepucuk pistol. Setiap tahun, kira-kira 40,000 maut akibat keganasan senjata api. – AFP, 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen