Masuk fasa 2 PPN, sampah berlonggok di kawasan rekreasi, pelancongan di Selangor


Angie Tan

Sukarelawan mengutip sampah yang ditinggalkan pengundung di kawasan air terjun Sungai Pisang pada hujung minggu lalu. – Gambar Facebook Gogo Outdoor, 25 September, 2021.

PIHAK berkepentingan di Selangor memberi amaran kepada orang ramai jangan membuang sampah sesuka hati di lokasi tumpuan pelancong dan kawasan riadah sebagai “balas dendam kepada pelancongan” selepas sekatan kawalan pergerakan dilonggarkan pada 10 September.

Gambar di media sosial menunjukkan pantai, air terjun dan kawasan rekreasi dipenuhi sampah selain pengunjung yang penuh sesak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian berkata kepada The Malaysian Insight di bawah fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti mendaki dan menyusuri hutan masih dilarang.

“Namun begitu, ramai orang berkunjung ke air terjun di kawasan hutan simpan untuk mandi-manda dan berkelah, kemudian meninggalkan sampah,” katanya.

Jabatan Perhutanan Selangor tidak cukup tenaga kerja untuk meronda di kawasan ini, katanya dan berkata orang awam yang berbuat demikian dianggap sebagai menceroboh.

“Ini masalah besar yang sedang kami hadapi. Bagi lokasi pantai atau tepi laut, mudah untuk kawal keadaan (berkenaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)), tetapi sukar bagi kawasan hutan,” katanya.

Presiden Persatuan Alam Sekitar Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail menggesa kerajaan dan agensi lain seperti Jabatan Perhilitan dan Taman Negara serta pihak berkuasa tempatan mengenakan peraturan lebih ketat.

Katanya, ia bagi mengurangkan masalah pencemaran.

Beliau mengingatkan pelancong untuk membawa kembali sampah, termasuk topeng pelitup muka ketika pulang meninggalkan lokasi berkenaan.

Video tersebar di media sosial menunjukkan pengunjung bersesak di kawasan hutan pada hujung minggu selepas lebih banyak aktiviti luar dibenarkan apabila Selangor dan Lembah Klang beralih ke fasa dua PPN.

Perjalanan rentas daerah dan kawasan pelancongan tempatan juga kini dibenarkan.

Lokasi pelancong seperti air terjun Sungai Pisang, penuh sesak dengan orang ramai dan dipenuhi sampah sarap. Pengunjung juga didapati tidak memakai topeng pelitup muka.

Satu hantaran di Facebook oleh kumpulan Friends of Bukit Gasing (FOBG) berkata tidak semua kawasan alam semula di Selangor sudah dibuka kepada orang ramai, hanya kerana sekatan pergerakan sudah dilonggarkan.

Kumpulan itu memuat naik senarai taman di mana berjalan dan mendaki dibenarkan sementara kawasan diuruskan Jabatan Perhutanan Selangor masih ditutup. Ia adalah hutan simpan yang memerlukan permit untuk masuk apabila ia dibuka nanti.

FOBG turut mengingatkan jumlah denda yang dikenakan pihak berkuasa adalah tinggi atas kesalahan menceroboh, dan pengunjung diingatkan tidak meninggalkan sampah. – 25 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen