BEKAS presiden Catalan Carles Puigdemont yang dalam buangan, ditahan di Itali semalam, kata peguam dan pembantunya, empat tahun selepas melarikan diri susulan referendum kemerdekaan yang ditolak Madrid, dianggap sebagai tidak berperlembagaan.
Beliau dijangka dibawa ke mahkamah hari ini dalam perbicaraan yang mungkin menyebabkan beliau diekstradisi ke Sepanyol untuk berdepan pertuduhan kes hasutan.
Pemimpin Catalan – yang berpangkalan di Belgium sejak referendum 2017 – ditahan di Alghero, Sardinia, menurut ketua stafnya Josep Lluis Alay di Twitter.
“Ketika tiba di lapangan terbang Alghero, beliau ditahan polis Itali. Hari ini, beliau akan ke mahkamah rayuan di Sassari, di mana hakim akan menentukan sama ada melepaskannya atau ekstradisi beliau,” kata Alay.
Peguam Puigdemont, Gonzalo Boye di Twitter berkata pemimpin gerakan pemisah itu ditahan ketika tiba di Itali, dan melakukan perjalanan itu atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Eropah.
Beliau berkata penahanan dibuat berdasarkan kepada waran yang dikeluarkan pada Oktober 2019 dan arahan itu digantung.
Puigdemont, 58, individu dikehendaki di Sepanyol atas tuduhan hasutan berhubung cubaannya untuk memisahkan wilayah Catalan dari Madrid menerusi referendum 2017.
Beberapa minggu ini, kerajaan Sepanyol dan pihak berkuasa Catalan menyambung semula rundingan untuk mencari penyelesaian kepada krisis politik terburuk Sepanyolitu.
Pada Mac, Parlimen Eropah menarik balik imuniti untuk Puigdemont dan dua lagi ahli Parlimen Eropah yang pro kemerdekaan, satu keputusan yang dikekalkan oleh Mahkamah Am EU pada Julai.
Bagaimanapun, keputusan Parlimen Eropah itu kini dalam proses rayuan dan mahkamah EU masih belum membuat keputusan. – AFP, 24 September, 2021.
Komen