GUNUNG berapi Fuego di Guatemala mengeluarkan lava dan debu semalam dalam beberapa siri letupan, tetapi arahan berpindah belum dikeluarkan kepada penduduk, kata pihak berkuasa.
Letusan itu menyebabkan lava keluar seperti aliran sungai ke bahagian bawah gunung berapi itu, kira-kira 35km ke tenggara ibu kota Guatemala City, kata Emilio Barillas dari institut gunung berapi Insivumeh.
Fuego yang setinggi 12,240 kaki adalah satu daripada tiga gunung berapi aktif di Guatemala.
Aktiviti terbaru yang direkodkan itu adalah paling kuat sejak Jun 2018, ketika Fuego memuntahkan lahar dan debu hingga melenyapkan sebuah perkampungan, San Miguel Los Lotes, kata Barillas.
Lebih 200 nyawa terkorban.
Semalam, beberapa penduduk di kaki gunung itu melaporkan tiada pergerakan serius berlaku, hanya debu, kata pusat koordinasi bencana Conred.
“Buat masa ini, tiada program pemindahan dimulakan,” kata jurucakap Conred David de Leon, namun situasi itu dipantau rapat. – AFP, 24 September, 2021.
Komen