AMERIKA Syarikat (AS) menghantar tambahan 2.5 juta lagi dos vaksin ke Bangladesh yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.
Pegawai White House memaklumkan perkara itu susulan pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan peningkatan sumbangan AS kepada global.
Penghantaran terbaru membabitkan 2,508,480 dos vaksin jenis Pfizer itu menjadikan jumlah sumbangan AS kepada negara berkenaan kini melebihi sembilan juta dos.
Pegawai yang enggan dikenali itu berkata pembungkusan sedang dilakukan dan penghantaran pertama dibuat melalui program Covax diterajui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tiba Isnin.
“Kami bangga dapat menghantar vaksin yang selamat dan berkesan kepada rakyat Bangladesh,” katanya.
Pegawai berkenaan berkata tidak ada sebarang ikatan di sebalik pemberian sumbangan terbabit.
“Kami berkongsi dos ini bukan untuk meraih bantuan atau mendapatkan konsesi,” kata pegawai itu.
Berdasarkan maklumat pangkalan data AFP, hanya 9.3% daripada penduduk Bangladesh sudah lengkap imunisasi Covid-19, setakat minggu ini. – AFP, 24 September, 2021.
Komen