Penerbit buku Sweden ditahan, EU desak China bebaskan ‘segera’


Plakad menunjukkan penerbit buku Gui Minhai (kanan) dan Lee Bo (kiri) yang hilang. – Gambar AFP, 24 Januari, 2018.

DUTA Kesatuan Eropah (EU) ke China mendesak Beijing melepaskan penerbit buku Gui Minhai dibebaskan dengan kadar segera setelah rakyat Sweden itu ditahan buat kali kedua.

“Kami harap pihak berkuasa China membebaskan Gui Minhai dengan segera dari tahanan dan benarkan beliau bersama dengan keluarga beliau, dan dapatkan bantuan kesihatan selain bantuan konsul,” kata Hans Dietmar Schweisgut dalam sidang media, sebelum menambah: “Beliau adalah rakyat Sweden dan rakyat EU.”

Gui, 53, pertama kali hilang pada 2015 ketika bercuti di Thailand sebelum muncul kembali di sebuah kawasan yang tak dinamakan di China.

Beliau adalah salah seorang dari lima penerbit buku berpangkalan di Hong Kong yang terkenal kerana menerbitkan pelbagai naskhah lucah mengenai kehidupan politikus elit China.

Pihak berkuasa China berkata mereka telah membebaskan Gui pada Oktober, namun tidak jelas ke tahap mana beliau dibebaskan selepas dipenjarakan kerana “kejadian lalu lintas.”

Anak perempuannya, Angela Gui memberitahu Radio Sweden yang ayahnya ditahan oleh polis berpakaian preman pada malam Sabtu dalam kereta api menuju Beijing dari tempat penginapannya, Ningbo, ketika ditemani oleh dua diplomat Sweden.

Tambah Angela, ayahnya ke Beijing untuk mendapatkan rawatan dengan doktor Sweden kerana Gui Minhai didapati mengalami simptom ALS (Lou Gehrig’s disease). – AFP, 24 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen