Penasihat Suu Kyi dihadapkan ke mahkamah


Gambar memaparkan penasihat kepada pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi, Sean Turnell, menerima vaksin Covid-19 di Penjara Insein di Yangon pada 28 Julai lalu, yang disiarkan media kerajaan.– Gambar AFP, 23 September, 2021.

PENASIHAT kepada pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi dihadapkan di mahkamah tentera hari ini, atas tuduhan berkait imigresen dan rahsia rasmi, kata peguam yang terlibat dalam kes itu.

Warga Australia Sean Turnell adalah warga asing pertama yang ditahan selepas kerajaan pimpinan Suu Kyi digulingkan melalui rampasan kuasa pada 1 Februari lalu, sehingga mencetus tunjuk perasaan besar-besaran di Myanmar.

Peguam Khin Maung Zaw berkata Turnell ditahan di Penjara Insein di Yangon sejak ditangkap tentera.

Profesor dari Universiti Macquarie, Autsralia itu kelihatan lemah dan lesu ketika hadir di mahkamah di Naypyidaw hari ini, kata Khin.

Julai lalu, isteri Turnell memohon suaminya itu dibebaskan kerana bimbangkan keadaan kesihatannya susulan lonjakan kes Covid-19 di Myanmar.

Beberapa gambar memaparkan Turnell menerima vaksin Covid-19 di Penjara Insein kemudian disiarkan media kerajaan pada 28 Julai.

Hakim Ye Lwin yang mendengar kes Turnell, adalah hakim sama yang mempengerusikan perbicaraan dua wartawan Reuters yang ditahan ketika membuat liputan mengenai pembunuhan 10 Muslim Rohingya di Rakhine pada September 2017.

Wa Lone dan Kyaw Soe Oo dijatuhi hukuman penjawa tujuh tahun. Mereka berdua kemudian dibebaskan 16 bulan kemudian selepas diberi pengampunan oleh Suu Kyi pada Mei 2019.

Suu Kyi kini dibicarakan di mahkamah atas beberapa pertuduhan, termasuk mengimport walkie-talkie secara haram, melanggar peraturan Covid-19 serta menghasut.

Beliau berdepan hukuman penjara puluhan tahun jika disabitkan bersalah. – AFP, 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen