Ketua SPRM patut direhatkan, kata Majlis Presiden Pakatan


Alfian Z.M. Tahir

Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki perlu direhatkan sementara waktu dari tugas sehingga siasatan penuh berkaitan penahanan tiga pegawai kanan selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2021.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki perlu direhatkan sementara waktu dari tugas-tugas beliau sehingga siasatan penuh berkaitan isu penahanan reman tiga pegawai kanan badan anti rasuah berkenaan dapat dilakukan, kata Pakatan Harapan.

Majlis Presiden dalam satu kenyataan juga mendesak Putrajaya mempertimbangkan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu-isu berhubung SPRM dan mencadangkan langkah-langkah mereformasi institusi penting ini.

“Kami menyambut baik kenyataan yang dibuat Menteri Dalam Negeri di dalam Dewan Rakyat semalam bahawa satu kertas inkuiri Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuka terhadap isu ini.

“Bagaimanapun, memandangkan isu ini telah mewujudkan satu persepsi yang amat buruk terhadap SPRM serta mengakibatkan rakyat Malaysia mempertikai integriti institusi itu sendiri, kami berpandangan bahawa satu kertas siasatan perlu dibuka, siasatan tersebut perlu bersifat menyeluruh dan mereka yang telah melanggar undang-undang mesti dibawa ke muka pengadilan.

“Pada masa sama Azam Baki patut direhatkan sementara waktu dari tugas-tugas beliau sehingga siasatan penuh dapat dilakukan,” katanya. 

SPRM baru-baru ini berkata bahawa pihaknya sedang menyiasat tiga pegawai kanannya atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan. 

Sebagai sebahagian daripada siasatan yang dijalankan, ketiga-tiga pegawai itu direman selama enam hari dari 14 September hingga 19 September.

Bagaimanapun, ahli Parlimen dan kumpulan masyarakat sivil mempersoalkan kenapa SPRM menyiasat pegawainya sendiri apabila dakwaan kesalahan itu berada di bawah Kanun Keseksaan dan berada di bawah bidang kuasa polis.

Sebelum ini sebuah blog mendedahkan bahawa SPRM menahan tiga pegawai mereka berkaitan dakwaan pemalsuan wang tunai yang dirampas dari bekas Ketua Pengarah Pertubuhan Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia, Hasanah Abd Hamid tiga tahun lalu.

Pada April, Hasanah dilepas tanpa bebas (DNAA) dalam kes pecah amanah jenayah melibatkan dana kerajaan sebanyak RM50.4 juta selepas pihak pendakwaan menarik semula kesnya.

Sebelum ini, Hasanah mengaku tidak bersalah atas kesalahan pecah amanah melibatkan AS$12.1 juta milik kerajaan Malaysia di Mahkamah Sesyen pada 25 Oktober 2018.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sebagai pegawai di pejabat ketua pengarah bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei tahun berkenaan. – 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen