Presiden Brazil kuarantin selepas pegawai delegasi dijangkiti Covid-19


Presiden Brazil Jair Bolsonaro menjalani kuarantin kendiri sejurus kembali hadir PBB selepas anggota delegasinya disahkan positif Covid-19. – Gambar EPA, 23 September, 2021.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro menjalani kuarantin kendiri pada Rabu sejurus kembali daripada menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas anggota delegasinya disahkan positif Covid-19.

Langkah itu diambil selepas Agensi Pengawalselia Kesihatan Brazil (Anvisa), meminta Bolsonaro dan anggota delegasinya menjalani kuarantin berikutan pengumuman Menteri Kesihatan Marcelo Queiroga di Twitter pada Selasa, mengesahkan beliau dijangkiti virus itu semasa lawatan pemimpin Brazil ke New York.

Menurut Agensi Anadolu, memetik kenyataan dikeluarkan kediaman rasmi presiden, Palácio do Planalto, delegasi berkenaan akan menjalani kuarantin selama lima hari, sebelum ujian PCR dilakukan.

Queiroga disahkan positif Covid-19 sehari sebelum kembali ke Brazil dari Amerika Syarikat dan menjalani kuarantin di sebuah hotel di New York dan menunda tarikh kepulangannya.

Seorang diplomat yang terbabit dengan pasukan persediaan lawatan Bolsonaro juga disahkan positi pada hujung minggu dan kini menjalani kuarantin. – Bernama, 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen