China selesai hantar rel keluli projek HSR Indonesia


China selesai hantar semua rel keluli seberat 38,100 tan ke Indonesia untuk projek pembinaan landasan HSR Jakarta-Bandung. – Gambar fail EPA, 23 September, 2021.

CHINA selesai menghantar semua rel keluli seberat 38,100 tan ke Indonesia untuk projek pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung.

Penghantaran itu membabitkan lima fasa bermula November 2020 dan fasa akhir melibatkan bekalan rel keluli seberat 6,600 tan yang selamat sampai di Indonesia pada Selasa.

Landasan HSR Jakarta-Bandung merupakan sebuah projek ikonik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta kerjasama pragmatik China dengan Indonesia.

Rel sepanjang 142.3 km itu akan menghubungkan Jakarta dan Bandung, yang masing-masing merupakan ibu negara dan bandar keempat terbesar Indonesia, dengan kelajuan operasi maksimum mencecah 350 km sejam.

Projek tersebut akan mengurangkan masa perjalanan di antara kedua-dua bandar kepada 40 minit berbanding lebih tiga jam menerusi lebuh raya pada masa ini, sekali gus mendorong pembangunan ekonomi tempatan. – Bernama, 23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen