62 kanak-kanak maut di kem perlindungan Syria tahun ini


Badan amal Save the Children berkata kira-kira 40,000 kanak-kanak dari 60 negara berbeza hidup dalam keadaan buruk di kem Roj dan Al-Hol di timur laut Syria. – Gambar AFP, 23 September, 2021.

DUA kanak-kanak meninggal dunia setiap minggu di Al-Hol, satu daripada kem Syria yang padat dengan keluarga disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Isis terkandas, kata Save the Children pada Khamis.

Badan amal itu berkata banyak negara, termasuk negara Kesatuan Eropah (EU), membiarkan ribuan kanak-kanak di sana yang terdedah kepada keganasan, kebakaran, kekurangan zat makanan dan penyakit.

Save the Children berkata kira-kira 40,000 kanak-kanak dari 60 negara berbeza hidup dalam keadaan buruk di kem Roj dan Al-Hol di timur laut Syria.

“Banyak negara terkaya di dunia gagal membawa pulang sebahagian besar kanak-kanak mereka yang terperangkap di dua kem pemindahan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Dikatakan 62 kanak-kanak meninggal dunia kerana pelbagai punca setakat tahun ini, termasuk keganasan, penyakit dan kemalangan.

Save the Children berkata sebanyak 73 orang, termasuk dua kanak-kanak, dibunuh di Al-Hol sahaja setakat tahun ini.

Kem terpencil yang dikendalikan oleh tentera Kurdi yang mengawal kawasan itu bertujuan menjadi tempat pelindungan ketua keluarga yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Isis.

Namun, mereka juga menahan banyak keluarga yang hanya meninggalkan Isis dan kediaman di Iraq dan Syria. Ada yang berada di sana sejak lebih empat tahun.

Save the Children menemubual beberapa kanak-kanak yang terperangkap di belakang pagar Al-Hol, yang menyaksikan mereka tinggal seperti tahanan dan kerajaan enggan membawa mereka pulang.

“Saya tidak dapat menanggung kehidupan ini lagi. Kami tidak melakukan apa-apa kecuali menunggu,” kata seorang remaja Lubnan berusia 11 tahun yang ditemu ramah pada Mei dan sejak dilaporkan terbunuh semasa percubaan melarikan diri yang gagal dalam sebuah trak air.

Badan amal itu berkata Perancis mempunyai 320 kanak-kanak yang ditahan di kedua-dua kem tersebut tetapi hanya menghantar pulang 35 orang. United Kingdom mempunyai 60 tahanan dan hanya membawa empat orang pulang.

“Apa yang kita lihat di sini adalah kerajaan membiarkan kanak-kanak, yang menjadi mangsa konflik,” kata Sonia Khush, pengarah respons Save the Children Syria.

Beliau berkata 83% operasi penghantaran pulang setakat ini dilakukan ke Uzbekistan, Kosovo, Kazakhstan dan Rusia.

Pihak berkuasa Kurdi yang menguruskan kawasan itu secara konsisten berlata mereka tidak berkemampuan untuk mengatur perbicaraan untuk semua suspek warga asing yang ditahan atau menyara keluarga mereka.

Perancis dan negara Barat yang lain bimbang terhadap kesan penghantaran pulang besar-besaran terhadap keselamatan domestik dan pandangan umum. – AFP23 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen