SEMAKIN ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa peras ugut video bogel selepas diperangkap individu tidak dikenali melalui sembang dalam talian di platform media sosial semasa wabak Covid-19, kata parti politik.
Parti berkata biro aduan mereka menerima banyak rayuan daripada mangsa penipuan yang bergantung kepada peningkatan penggunaan media sosial orang ramai semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Mereka berkata penipu mengambil kesempatan daripada wabak Covid-19 untuk berkawan dan memerangkap mangsa, termasuk yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga.
Mereka menambah mangsa sangat terdedah dengan penipuan memandangkan sebahagian besar kegiatan sosial terhadap kepada platform dalam talian selepas sekatan dikenakan untuk mengekang penyebaran virus Covid-19.
Ketua Biro Aduan Awam DAP Wilayah Persekutuan, Yew Jia Haur berkata jabatan itu menerima beberapa laporan tahun ini daripada mangsa lelaki dan wanita.
“Paling muda berusia 14 tahun dan paling tua berusia lebih 50 tahun. Sebahagian mereka adalah pelajar, janda, dan lelaki pertengahan umur yang sudah berkeluarga,” kata Yew.
Semua mangsa bertemu penipu selepas menghabiskan masa seminggu berbual, sebelum akhirnya melakukan perbualan lucah melalui media sosial, katanya.
“Sebelum itu, penipu akan menghantar satu pautan kepada mangsa, mendakwa terdapat gambar bogel diri mereka dalam pautan itu. Bagaimanapun, pautan itu tidak wujud.
“Ia mungkin perisian penggodam virus. Dan selepas diklik, ia mungkin memperoleh buku alamat anda, yang kemudian diancam oleh penipu untuk mengirim foto bogel anda kepada rakan,” kata Yew.
Sebilangan besar mangsa diugut keesokan harinya selepas perbualan lucah. Ada juga yang mendapati satu atau dua rakan menerimanya.
Oleh itu, mangsa akan panik dan segera membayar, jelasnya.
Biasanya, penipu tidak akan meminta harga yang tinggi pada tahap pertama, tetapi secara beransur-ansur akan meningkatkan permintaannya, kata Yew.
“Ia mungkin bermula dari RM1,000, dan apabila penipu melihat anda mampu, mereka akan memeras dengan jumlah lebih tinggi, sehingga RM10,000,” katanya.
Sebelum ini, beliau berkata penipuan berlaku di Facebook, tetapi tahun ini, kebanyakan kes berpunca daripada aplikasi WhatsApp.
“Setiap kali mangsa meminta pertolongan, cadangan saya adalah menghubungi polis terlebih dahulu. Kemudian jika boleh, ganti nombor telefon bimbit dan akaun Facebook, dan memutuskan hubungan terus,” kata Yew.
Beliau menegaskan apa yang dikehendaki oleh penipu adalah wang, dan gambar bogel yang disiarkan ke pelbagai media sosial adalah cara untuk menakut-nakutkan mangsa.
“Jika tidak dapat menipu duitt dalam seminggu, mereka tidak akan melanjutkan ugutan. Ia adalah cara paling berkesan untuk menangani kes berkaitan setakat ini,” katanya.
Yew mengesyorkan kepada orang ramai agar memastikan kenalan, ahli keluarga atau orang tersayang yang menyimpan buku alamat telefon mereka diberi nama lain dalam format berbeza tanpa menunjukkan identiti pasangan, ibu bapa atau adik beradik.
Ini bagi mengelakkan mana-mana ahli keluarga mereka terjebak dalam penipuan selepas telefon hilang dan diambil oleh orang tidak dikenali. – 23 September, 2021.
Berita penuh di sini
Komen