EXCO Pulau Pinang yang bertanggungjawab berhubung kesihatan Dr Norlela Ariffin, yang dikritik kerana peningkatan kes Covid-19 di negeri ini, membidas pengkritiknya dengan mengatakan menjadi tanggungjawab semua pihak dalam kerajaan negeri untuk menangani wabak tersebut.
Beliau berkata tidak adil untuk menyalahkan dirinya sahaja kerana peningkatan kes dan kurang vaksinasi.
Norlela berkata semua pihak dalam kerajaan Pulau Pinang, termasuk penyokong Pakatan Harapan (PH), harus terlibat dalam menangani wabak Covid-19 di negeri ini.
Wakil rakyat PKR itu berkata isu utama adalah kekurangan vaksin yang disediakan kerajaan pusat, dan bukan kerana beliau tidak berusaha mendapatkan ia lebih banyak.
Beliau mengulangi kenyataan yang usaha untuk mendapatkan bekalan vaksin sebanyak mungkin bukan kepada pihak kesihatan semata-mata, tetapi wakil rakyat di negeri ini juga harus ikut serta.
“Sultan Selangor bertitah negeri itu tidak mendapat nisbah bekalan vaksin per penduduk yang mencukupi dan ia segera diperbaiki, sama juga dengan Johor. Di sini saya boleh berterusan bercakap tetapi ia bukan tanggungjawab saya.
“Mereka juga harus bersuara daripada mengkritik dan menjatuhkan moral orang yang cuba melakukan yang terbaik dari situasi yang mengerikan,” kata Norlela kepada The Malaysian Insight.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu dilantik sebagai exco agroteknologi dan keselamatan makanan, pembangunan luar bandar dan kesihatan negeri pada Mac tahun lalu, menjadikannya pemimpin wanita pertama daripada PKR yang memegang jawatan exco negeri.
Norlela dikritik kerana tidak melakukan terbaik untuk memastikan Pulau Pinang mempunyai bekalan vaksin Covid-19 mencukupi semasa lonjakan jangkitan bulan lalu.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga memberi komen negeri itu tidak boleh mengikut kerajaan persekutuan sebaliknya melakukan usaha pengurangan sendiri untuk menangani Covid-19.
Isu itu juga dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini ketika wakil rakyat dari PH menyalahkan Norlela kerana tidak menangani situasi Covid-19 dengan baik.
“Saya tidak mempunyai kuasa untuk putuskan berapa banyak vaksin yang kita (Pulau Pinang) dapatkan. Jika orang seperti Lim ingin mengatakan saya tidak dapat menyelesaikan vaksinasi negeri ini pada Ogos, itu benar, tetapi saya tidak mempunyai kuasa (untuk mengawal bekalan vaksin).
“Vaksin ini berada di bawah kendali Kementerian Kesihatan, menteri dan kerajaan persekutuan. Kita bukan orang yang mempunyai kuasa terhadap kesihatan. Saya hanya boleh meminta bagi pihak rakyat Pulau Pinang dan negeri,” katanya. – 23 September, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen