SEKURANG-KURANGNYA 25 orang maut akibat wabak demam kuning yang menular sejak Disember lepas di negeri kedua paling ramai penduduk di Brazil iaitu Minas Gerais, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Jabatan Kesihatan serantau pada Selasa.
Sejumlah 22 orang lagi dijangkiti virus itu di tenggara negeri tersebut, di mana 87 kes berpotensi dipantau manakala 12 kematian sedang dianalisis.
Separuh daripada kematian itu berlaku di kawasan metropolitan ibu negeri Belo Horizonte.
Hampir semua mangsa adalah lelaki dan kebanyakan mereka tidak diberi vaksin bagi mencegah penyakit itu.
Wabak itu menular ke beberapa negeri jiran iaitu Sao Paulo, yang memiliki penduduk paling ramai dan Rio de Janeiro, yang menerima kebanyakan pelancong ke Brazil.
Di bandar Sao Paulo, pihak berkuasa menutup zoo, zoo safari dan taman botani selepas seekor monyet Howler yang dijangkiti virus itu ditemui mati.
Primat merupakan pembawa utama virus itu, yang ditular melalui nyamuk.
Wabak itu, yang mula menular pada hujung 2016 dan awal 2017 di Minas Gerais, telah meragut banyak nyawa. – Bernama, 24 Januari, 2018.
Komen