GEMPA bumi di tenggara Australia menyebabkan bangunan bergegar, beberapa struktur runtuh dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk di Melbourne.
Gegaran berukuran 5.9 magnitud yang melanda timur bandar kedua terbesar di negara ini, antara gegaran terbesar yang direkodkan dalam beberapa dekad.
Dengan Melbourne yang kini dalam perintah berkurung memasuki minggu ke lapan dan berdepan keganasan protes antivaksin, kebanyakan penduduk berada di rumah ketika gegaran berlaku.
Pemilik kafe Oppen di Melbourne, Zume Phim, 33 berkata beliau berlari keluar ke jalan raya ketika gempa berlaku.
“Seluruh bangunan bergegar. Semua tingkap dan kaca bergoncang seperti gelombang gegaran,” katanya kepada AFP.
“Saya tidak pernah berdepan situasi seperti ini. Ia sangat menakutkan.”
Di lokasi meblei-beloah popular Melbourne, Chapel Street, cebisan daripada serpihan bangunan bertaburan di jalan raya.
Batu-bata dan runtuhan memenuhi sebuah restoran burger dan kepingan logam turut dilihat tergantung di sebuah bumbung restoran.
“Kami bernasib baik tiada pelanggan ketika gegaran berlaku,” kata restoran itu menerusi Facebook.
Perkhidmatan kecemasan Victoria berkata pihaknya menerima lebih 100 panggilan kecemasan untuk bantuan.
Kebanyakan panggilan kecemasan dibuat berhubung runtuhan sebahagian daripada bangunan.
“Ianya sangat menakutkan dan semua orang terkejut dengan kejadian ini,” kata seorang pekerja kafe Parker Mayo, 30 kepada AFP.
Kejadian gempa bumi kuat sangtat luar biasa di Australia.
“Gempa berukuran 5.9 magnitud pada kedalaman 10 kilometer, ianya sesuatu perkara yang besar di tenggara Australia sejak sekian lama,” kata pakar geologi University of Melbourne. – AFP, 22 September, 2021.
Komen