PRESIDEN China Xi Jinping pada Selasa menyarankan satu inisiatif pembangunan sejagat selain menyeru dunia berganding bahu menangani ancaman dan cabaran global.
Menurut beliau, ketika ini masyarakat dunia sedang mengalami perubahan ketara ekoran penularan pandemik Covid-19.
“Dunia turut menempuhi satu tempoh baharu yang menyaksikan pergolakan dan reformasi.
“Pemimpin bertanggungjawab mencari jalan keluar bagi isu semasa dan membuat keputusan dengan yakin, berani serta penuh tanggungjawab,” katanya ketika berucap secara maya pada sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa.
Tegas Xi, pandemik mesti ditewaskan dan ekonomi perlu dipulihkan, sementara semua negara hendaklah memperkasakan solidariti dan menambah baik tadbir urus global serta mengamalkan multilateralisme.
Berhubung saranan dalam memacu pembangunan sejagat, menurutnya pembangunan harus diutamakan dalam kerangka dasar makro, manakala penyelarasan dasar diintensifkan antara entiti ekonomi utama bagi membentuk perkongsian pembangunan global yang lebih seimbang dan sama rata.
Di samping itu, beliau menyarankan agar agenda pembangunan dilaksanakan dengan berpaksikan rakyat.
“Pembangunan perlu menyasarkan kepada menjamin dan menambah baik kehidupan rakyat, serta memelihara dan memajukan hak asasi manusia.
“Usaha pembangunan adalah penting dalam menjamin kesejahteraan rakyat. Ia bergantung kepada rakyat, dan hasilnya juga dikongsi seluruh rakyat,” kata Xi.
Beliau turut mengesyorkan prinsip saling untung dan terangkum, usaha inovasi, simbiosis antara manusia dan alam serta tindakan praktikal dititikberatkan dalam menjana pembangunan di peringkat global. – Bernama, 22 September, 2021.
Komen