DUA anggota Taliban dan seorang orang awam dibunuh pada Rabu oleh penyerang bersenjata yang menyerang pusat pemeriksaan di timur Afghanistan, kata sumber keselamatan dan saksi.
Serangan di bandar Jalalabad adalah yang terbaharu menyasarkan Taliban di wilayah Nangarhar, yang sejak bertahun-tahun menjadi pangkalan operasi utama pengganas Negara Islam.
Seorang sumber keselamatan dan saksi berkata lelaki bersenjata yang tidak dikenali menunggang beca dan menyerang pusat pemeriksaan di daerah Ghawchak di Jalalabad dan membunuh dua pengawal Taliban dan seorang orang awam.
Seorang pegawai Taliban mengesahkan serangan itu, namun berkata semua yang terkorban adalah orang awam.
Dalam kejadian lain, penduduk tempatan memberitahu AFP, dua anggota Taliban cedera ketika cuba meledakkan alat bom buatan sendiri di Jalalabad.
Maklumat lebih lanjut belum tersedia.
Negara Islam-Khorasan, cabang tempatan kumpulan pengganas itu mengaku bertanggungjawab atas beberapa serangan hujung minggu di Jalalabad yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang.
Ia adalah letupan mematikan pertama sejak pasukan AS keluar dari Afghanistan pada 30 Ogos.
IS-K juga mengaku bertanggungjawab atas serangan berdarah yang mengorbankan lebih 100 orang di lapangan terbang Kabul pada akhir Ogos. – AFP, 22 September, 2021.
Komen