Hentikan slogan kosong, bantulah peniaga kecil-kecilan


SAYA ingin menarik perhatian terhadap situasi yang dihadapi oleh ramai peniaga-peniaga kecil seperti pelakon veteran, Rubiah Suparman yang antara ribuan pemilik perniagaan kecil yang terpaksa menghentikan operasi perniagaan mereka kerana sukar mendapatkan permit baru ataupun memperbaharui permit pekerja asing.

Peniaga kecil-kecilan seperti Rubiah, menghadapi pelbagai masalah untuk mencari pekerja tempatan mahupun pekerja asing untuk cuba meneruskan perniagaan. 

Atas sebab tidak dapat memperbaharui permit kerja, ramai pekerja asing untuk perniagaan kecil-kecilan terpaksa kembali ke negara asal. 

Pengusaha tempatan mengalami kerugian kerana tidak dapat memperbaharui permit kerja mereka walaupun telah berkhidmat selama sepuluh tahun dan mereka juga tidak dapat memohon permit kerja yang baru.

Situasi Rubiah bukanlah perkara baru—persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab sebenarnya dalam proses permohonan permit kerja baru untuk pekerja asing? 

Sehingga kini, tidak ada maklumat dan garis panduan yang jelas untuk Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dan pemilik perniagaan kecil-kecilan untuk menguruskan proses pengambilan pekerja. 

Begitu juga dengan masalah yang dihadapi oleh ramai pengusaha gerai di pusat penjaja dan restoran makanan.

Adakah masalah ini perlu ditangani oleh Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Sumber Manusia atau Jabatan Imigresen? 

Persoalannya, adakah mereka saling berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut? 

Kerajaan harus berhenti dengan slogan kosong “Malaysia Prihatin” dan “Keluarga Malaysia”, pada masa yang sama bersikap tidak peduli dengan ribuan pemilik perniagaan kecil Malaysia yang hampir lemas kerana cuba menyelamatkan perniagaan mereka.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, lebih daripada 60 peratus pekerjaan di negara ini disediakan oleh PKS dan pada ketika pandemik Covid-19, pekerja dalam sektor PKS adalah golongan pekerja yang paling banyak terjejas. 

Sungguhpun begitu, pekerja tempatan juga tidak berminat dengan pekerjaan dengan gaji rendah dalam perniagaan kecil dan walaupun gaji minimum kepada RM1,200 telah dinaikkan, jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk mengatasi isu ketidaksaksamaan gaji dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malaysia tidak mampu lagi bergantung pada pekerja asing yang berkemahiran rendah untuk mengekalkan ekonominya. 

Dasar tersebut tidak mempunyai kesinambungan yang berkesan dan juga terdedah kepada eksploitasi pekerja migran dan pengabdian moden. 

Sebilangan besar dari mereka bekerja dalam industri komoditi di ladang dan tapak pembinaan, dan juga dalam sektor pembuatan.

Saya setuju dengan pandangan Dr. Lee Hwok Aun, yang meminta agar undang-undang dan dasar pekerja asing kita perlu dikaji semula. 

Beliau telah menyatakan bahawa kerajaan “harus secara tegas, menyelaraskan pengurusan aliran masuk pekerja asing melalui saluran rasmi, dasar perlindungan pekerja dan pastikan pihak majikan untuk memenuhi kewajiban mereka dalam memastikan perihal pengambilan pekerja dengan betul.”

Menurut laporan Bank Dunia pada tahun 2017, dianggarkan terdapat lebih daripada tiga juta pekerja asing di Malaysia. 

Walaupun jumlah permit pekerja asing yang dikeluarkan telah menurun dari dua juta menjadi 1.4 juta pada tahun 2020, kita harus beralih ke arah mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk memperbaiki struktur gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik bagi pekerja tempatan dan asing.

Saya menyambut baik inisiatif kerajaan untuk melanjutkan Program Subsidi Gaji yang telah membelanjakan lebih RM15 bilion untuk memberi manfaat kepada hampir tiga juta orang, namun ia masih lagi tidak mencukupi untuk memastikan ekonomi terus bertahan dengan mampan.

Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia juga telah melaporkan bahawa gaji median untuk pekerja separuh mahir dan berkemahiran rendah telah berkurangan sebanyak 20 peratus. 

Impak daripada pandemik Covid-19 ini dari segi pengangguran dan gaji yang lebih rendah, akan menyumbang kepada peningkatan ketaksamaan di antara yang kaya dan miskin. 

Kita tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan keadaan sebegini berlarutan. – 22 September, 2021.

* Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Petaling Jaya 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen