Bukit Aman siasat laporan Najib terhadap LHDN


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa LHDN melakukan beberapa kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bersabit salah guna kuasa dan pemalsuan dokumen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2021.

JABATAN Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sudah memulakan siasatan berhubung laporan bekas perdana menteri Najib Razak terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa tuntutan cukai terhadapnya bermotifkan politik, kata pengarahnya Kamarudin Md Din.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, katanya, iaitu bagi kesalahan pemalsuan dokumen.

“Polis ingin mengesahkan satu siasatan dijalankan berkait laporan polis oleh Najib Razak terhadap LHDN.

“Semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Pada 8 September, Najib membuat laporan polis mendakwa beliau menerima maklumat dalaman pegawai LHDN ditekan oleh ahli politik supaya mengenakan tindakan undang-undang terhadapnya.

Najib mendakwa agensi itu melakukan beberapa kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bersabit salah guna kuasa dan pemalsuan dokumen.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai sebelum ini dipetik berkata siasatan kes dipindahkan ke Bukit Aman.

LHDN pada 25 Jun 2019 memfailkan saman terhadap Najib menuntut bayaran RM1.69 bilion cukai tertunggak yang perlu dibayar bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan itu selepas membenarkan penghakiman terus dimasukan terhadapnya.

Pada 14 Jun 2021, Hakim Ahmad Bache menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan penghakiman itu atas alasan semua pembayar cukai sama di sisi undang-undang. – 22 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen