AMERIKA Syarikat (AS) perlu terus bekerjasama dengan Taliban demi masa depan Afghanistan meskipun tenteranya telah berundur dari negara pasca perang itu, kata bekas diplomat tertinggi Pakistan Aizaz Ahmad Chaudhry.
Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik Islamabad (ISSI) di Pakistan itu berkata AS tidak boleh lepas tangan selepas berada di negara itu selama 20 tahun.
“AS dan dunia Barat memiliki tanggungjawab untuk tidak membatalkan pemerintahan (Taliban) ini.
“Mereka (AS) ada di sana (di Afghanistan) dalam tempoh lama, mereka datang untuk memulihkan al-Qaeda, dan menetap di Afghanistan bagi membentuk sistem demokrasi Barat yang liberal. Tetapi hal itu tidak berlaku kerana setiap negara mempunyai tradisinya yang tersendiri,” katanya dalam siri webinar bertemakan “Political Reconciliation and Social Economic Reconstruction of Afghanistan” pada Selasa.
Webinar tersebut anjuran Pusat Penyelidikan Dunia Muslim Malaysia, dengan kerjasama Jabatan Sejarah dan Peradaban Islam, Universiti Malaya (UM), Institut Penyelidikan Polisi Islam Islamabad (IPRI), Pusat Penyelidikan Dunia Muslim Pakistan, Australia dan Kesatuan Kajian OIC (OICGS), Malaysia.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya AS dan Barat terus membekukan dana dan menghentikan kerjasama bagi pembangunan Afghanistan, sehingga mendorong ke kancah perang saudara.
“Tanpa kewujudan pihak berkuasa pusat, entiti pengganas akan kembali ke Afghanistan. AS akan mendorong negara itu kembali ke era pra-2001,” katanya.
Taliban kembali berkuasa bulan lepas, menyebabkan AS menyekat akses Afghanistan terhadap rizab asing bernilai US$9 bilion di bank-bank Amerika, sementara Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menghentikan akses terhadap sumber-sumber termasuk rizab monetari baharu bernilai hampir US$400 juta.
Aizaz, pernah bertugas sebagai duta Pakistan ke AS turut menggesa negara serantau berganding bahu membantu membangun kembali Afghanistan, termasuk menghulurkan bantuan kemanusiaan dan menyediakan pakej bantuan ekonomi serta pembangunan.
Langkah itu dilihat amat penting ke arah pembentukan Afghanistan yang stabil dan akan memanfaatkan wilayah tersebut.
“Apa yang paling mendesak sekarang adalah rakyat Afghanistan tidak merasa disisih masyarakat antarabangsa,” katanya, sambil menambah Afghanistan termasuk Taliban harus mencari penyelesaian terbaik bagi menamatkan konflik.
“Mari beri peluang kepada kedamaian. Rusia, China, Pakistan, Iran, semua ingin melihat keamanan kembali di Afghanistan,” katanya.
Sementara itu, bekas menteri luar Malaysia, Syed Hamid Albar berkata dunia harus akur Taliban kini pemerintah de facto Afghanistan.
“Sama ada kita menyokong atau sebaliknya, faktanya adalah mereka sekarang adalah pemerintah de facto, mereka mengawal keadaan dan kita perlu lihat dari sudut pragmatik,” katanya dalam ucapan pembukaan pada webinar itu.
Beliau turut menggesa Pakistan, negara jiran Afghanistan, memainkan peranan memimpin negara lain untuk membantu proses pembinaan semula Afghanistan.
Syed Hamid yang juga ketua Kesatuan Kajian OIC (OICSG) berharap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan mesyuarat tergempar dan membincangkan situasi di Afghanistan serta merangka pelan membantu negara itu. – Bernama, 22 September, 2021.
Komen