Mahkamah tolak permohonan Azmin cabar status sulit laporan 1MDB


Amin Iskandar

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali terkejut dengan keputusan mahkamah menolak permohonan mencabar status sulit laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Januari, 2018.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali untuk mencabar status sulit laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Kamaludin Md Said berkata, Azmin tidak mempunyai “locus standi” untuk mendapatkan akses terhadap dokumen tersebut.

Kamaluddin berkata laporan 1MDB dibuat untuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bukan untuk tatapan awam.

Katanya, laporan itu adalah untuk kegunaan PAC dan tidak tertakluk bawah Perkara 107 (1) yang menghendaki ia dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diedarkan di Parlimen.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengenakan sebarang kos terhadap Azmin yang juga merupakan ahli Parlimen Gombak dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa.

Ketika ditemui pemberita di luar kamar mahkamah Azmin berkata akan berbincang dengan peguamnya untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu.

“Saya terkejut apabila diberitahu sebagai ahli Parlimen saya tiada ‘locus standi’ untuk mendapatkan akses kepada laporan tersebut.

“Jika kita lihat kepada pengakuan Perdana Menteri Najib Razak semalam, beliau mengaku syarikat (1MDB) mengalami kegagalan dan sudah mengarahkan semua pihak berkuasa untuk menyiasatnya,” kata Azmin.

Azmin berkata isunya ialah mengapa ketika Najib mengarahkan siasatan dijalankan terhadap 1MDB, Laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan sebagai sulit.

“Inilah sebab mengapa saya ke mahkamah untuk mencabar status sulit laporan tersebut,” katanya.

Azmin mencabar keputusan ketua audit negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara berhubung 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Dalam permohonan itu Azmin menuntut suatu deklarasi yang tindakan responden pertama iaitu perdana menteri yang mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Beliau juga menuntut deklarasi klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua Ambrin Buang adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan/atau Akta Audit 1957.

Peguam kerajaan dalam bantahan pada Oktober tahun lalu memberitahu mahkamah yang Azmin tidak mempunyai kepentingan secara langsung dalam kes tersebut.

Dalam hujahannya, peguam Suzana Atan berkata laporan berkenaan diklasifkasi sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi kerana disediakan secara eksklusif untuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  yang menyiasat skandal kewangan itu.

PAC juga memutuskan untuk tidak melampirkan laporan tersebut apabila dikemukakan ke Dewan Rakyat pada 2016, kata Suzana.

Menurut Suzana, Laporan Ketua Audit Negara itu terpaksa diletakkan status sulit kerana laporan awal yang dibentangkan kepada PAC pada Julai 2015 sudah dibocorkan kepada umum. – 24 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • terima saja keputusan yg dibuat oleh mahkamah..hormatinya..tak perlu nak buat tuduhan bkn2..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan