PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro memberitahu Perhimpunan Agung PBB pada Selasa kerajaannya tolak pasport kesihatan namun menyokong usaha vaksinasi Covid-19.
“Kami sokong usaha vaksinasi,” kata Bolsonaro, yang dikritik kerana caranya menangani wabak itu di Brazil di mana koronavirus telah membunuh lebih 590,000 orang.
“Namun, kerajaan saya tidak sokong vaksin atau pasport kesihatan atau peraturan lain yang berkaitan dengan vaksin,” katanya di New York.
Bolsonaro merupakan pemimpin dunia pertama yang bercakap dalam pertemuan peringkat tinggi PBB itu setelah Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres merasmikan mesyuarat.
Bolsonaro berkata beliau akan menjadi “orang Brazil terakhir” yang mendapat vaksin tetapi berkata kepada perwakilan program inokulasi Brazil bergerak dengan cepat.
Beliau berkata kerajaannya telah mengagihkan lebih 260 juta dos, dengan lebih 140 juta orang Brazil, iaitu hampir 90 peratus populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.
Tambah Bolsonaro 80 peratus penduduk asal Brazil telah diberi vaksin sepenuhnya.
“Menjelang November tahun ini, semua warga negara yang telah memilih untuk diberi vaksin di Brazil akan dilindungi,” katanya.
“Sejak pandemik melanda, kami telah menyokong autonomi profesional doktor dalam usaha untuk mendapatkan langkah-langkah perawatan awal sesuai dengan saranan yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Persekutuan Brazil,” katanya kepada para perwakilan.
Bolsonaro menentang peraturan yang henya membenarkan mesyuarat itu dihadiri hanya oleh mereka yang sudah divaksinasi. – AFP, 22 September, 2021.
Komen