YouTuber AS hilang disahkan dibunuh


Orang ramai meletakkan bunga susulan kehilangan Gabby Petito, berhampiran Florida, AS, pada 20 September 2021. FBI mengesahkan mayat dijumpai di Wyoming adalah Gabby. – Gambar AFP, 22 September, 2021.

FBI semalam mengesahkan mayat dijumpai di Wyoming adalah wanita hilang Gabrielle “Gabby” Petito, yang kehilangannya baru-baru ini mengejutkan Amerika Syarikat (AS), dengan koroner tempatan berkata kematiannya adalah satu pembunuhan.

Koroner Teton County berkata mayat ditemui pada Ahad adalah Gabby, dan dapatan awal cara kematian adalah pembunuhan dan masih menunggu keputusan bedah siasat bagi kepastian, menurut kenyataan FBI.

Pihak berkuasa AS melancarkan pencarian besar-besaran Gabby yang berusia 22 tahun ketika keluarganya memfailkan laporan orang hilang pada 11 September, selepas beliau hilang secara misteri semasa kembara jalan raya bersama teman lelakinya.

Gabby berhenti kerja dan menggembara dengan menaiki van pada Julai bersama teman lelakinya Brian Laundrie, 23, yang mendokumentasikan perjalanan mereka di Instagram.

Laundrie diisytiharkan sebagai “individu dalam perhatian” dalam kes tersebut dan menolak untuk bekerjasama dengan polis. Insiden menjadi lebih misteri selepas beliau juga hilang.

Dalam kenyataan, Biro Penyiasatan Persekutuan meminta pertolongan daripada sesiapa yang mungkin ada kontak dengan Gabby atau Laundrie, atau yang mungkin melihat kenderaan mereka antara 27 hingga 30 Ogos.

Laporan keganasan rumah tangga

Pasangan ini memulakan perjalanan merentas AS dari New York di Pantai Timur, menyiarkan gambar pemandangan Barat Amerika yang mengagumkan dan mereka berdua tersenyum gembira di sebelah van putih kecil mereka.

Dalam satu video YouTube yang disiarkan semasa perjalanan mereka, Gabby dan Laundrie ditunjukkan mesra sambil menikmati matahari terbenam bersama dan berjalan di pantai.

Namun, pada Ogos, polis di Utah bertindak balas terhadap laporan keganasan rumah tangga yang melibatkan Gabby dan Laundrie.

Rakaman kamera polis yang diterbitkan oleh media AS menunjukkan Gabby yang kecewa berkata beliau pernah bertengkar dengan Laundrie.

Bercakap dengan seorang polis selepas van mereka ditahan, Gabby dilihat menangis dan berkata beliau bergelut dengan masalah kesihatan mental.

Gabby berkata beliau menampar Laundrie selepas bertengkar, tetapi menambah tidak bermaksud mencederakan.

Pegawai polis memutuskan tiada pertuduhan dikenakan tetapi mengarahkan pasangan berasingan semalaman untuk bertenang. – AFP, 22 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen