Undi18 hak tentu masa depan negara


PARTI Muda mengalukan kenyataan Menteri Undang-undang Wan Junaidi semalam yang kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya akan melaksanakan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik selewatnya Disember 31, 2021.

Kami ingin menegaskan hak mereka yang berumur daripada 18 sehingga 21 tahun untuk mengundi bukan berhubung dengan kehadiran ke pusat mengundi untuk buang undi setiap 5 tahun sekali semata-mata. Tetapi merupakan hak dan peluang untuk menentukan masa depan negara, dan rupa bangsa negara yang diidamkan.

Pada masa sama, langkah ini memastikan bahawa golongan muda dan rakyat Malaysia sentiasa diberdayakan untuk memilih wakil-wakil rakyat yang kompeten untuk bentuk Parlimen yang bertaraf antarabangsa setanding dengan negara maju yang lain.

Kita mendengar bagaimana hujah tiga wakil rakyat di Parlimen kelmarin yang tidak dapat menjawab persoalan fundamental dengan baik. 

Seorang meletakkan bencana alam kepada takdir Tuhan. Seorang lagi ketika ditanya tentang kebajikan keluarga khususnya ibu bapa memberi jawapan yang berbeza menjawab pula tentang kebajikan kanak-kanak. Seorang lagi, memberi data survei tanpa memperihalkan latar belakang survei dan asal usulnya. 

Ketiga-tiganya merupakan menteri daripada kementerian yang mustahak kepada daya hidup negara dan bangsa.

Oleh itu, perkembangan terbaru ini merupakan pembangunan asas untuk pastikan kita akan dapat memilih wakil rakyat dan pemimpin politik yang lebih baik, serta pastikan kita tidak tercorot dalam persaingan dengan negara-negara lain.

Parti Muda akan mengikut rapat proses pelaksanaan Undi18 ini dan sentiasa menyokong padu hak dan kebajikan golongan muda, dan rakyat Malaysia.

Kami percaya bahawa sebagaimana sebuah negara dan bangsanya menjadi gemilang berkat perjuangan dan pengorbanan rakyatnya dan anak-anaknya, kemiskinan dan masalah negara juga berpunca daripada pemimpin yang korup dan tidak kompeten. – 22 September, 2021.

* Dr Teo Lee Ken, pengarah dasar Muda.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen