Rabun kanak-kanak meningkat kerana kelas dalam talian, kata pakar optik


Angie Tan

Masalah rabun jauh semakin meningkat dalam kalangan murid sekolah disebabkan oleh kelas dalam talian yang berlanjutan akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2021.

PENINGKATAN masalah rabun jauh dalam kalangan murid sekolah adalah disebabkan oleh kelas dalam talian yang berpanjangan akibat pandemik Covid-19, kata pakar optik.

Mereka berkata, ini dapat dilihat apabila jumlah kehadiran murid sekolah ke kedai cermin mata meningkat dalam tempoh 12 bulan terakhir.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa lebih 90% pelanggan mereka terdiri daripada murid sekolah dalam tempoh setahun setengah yang lalu berbanding sebelumnya.

Rabun jauh juga dikenali sebagai miopia adalah merujuk kepada keadaan penglihatan di mana anda tidak dapat melihat objek jauh tetapi objek dekat dapat dilihat dengan jelas. Ia berlaku apabila bentuk mata anda menyebabkan sinar cahaya membiaskan dengan tidak betul, memfokuskan gambar di depan retina anda dan bukannya pada retina anda.

Pengendali Legend Optical, Chan Yin Yen berkata, ramai murid yang datang menukar kanta mereka apabila penglihatan bertambah buruk sejak sekolah ditutup tahun lalu dan kelas diadakan di dalam talian.

Beberapa kanak-kanak mula memakai cermin mata untuk pertama kalinya semasa pandemik ini setelah dikenal pasti mula mengalami rabun jauh. Dan kanak-kanak seawall usia tujuh tahun didiagnosis rabun jauh, kata Chan.

“Rabun jauh mereka dikesan apabila sekolah dibuka sekejap untuk kelas fizikal. Mereka menyedari bahawa mereka tidak dapat melihat perkataan di papan putih,” kata Chan.

Sejak pertengahan tahun lalu sehingga sekarang, kedai cermin matanya menyaksikan peningkatan pelanggan daripada kalangan murid sekolah sebanyak 30%.

Ibu bapa cenderung mengetahui anak mereka rabun selepas guru mengadu anak-anak menulis nota yang salah.

“Sekiranya kanak-kanak itu didapati mempunyai rabun jauh pada tahap lebih 300 pada usia tujuh tahun, ini bermakna kanak-kanak mengalami rabun jauh lebih muda kerana mustahil mengalami miopia secara tiba-tiba,” katanya.

Miopia pada kanak-kanak juga lebih memburuk lebih cepat berbanding pada orang dewasa dan ramai kanak-kanak hari ini cenderung mengalaminya lebih awal kerana mereka banyak terdedah pada aktiviti dalam talian dan di skrin.

Sekiranya bukan kelas dalam talian, permainan di telefon bimbit atau iPad semasa masa lapang juga menjadi punca.

“Apa yang perlu dilakukan adalah memeriksa mata anak-anak sekali setahun sama ada mereka memakai cermin mata atau tidak, bagi menilai sama ada jarak penglihatan dekat mereka meningkat atau tidak,” kata Chan. – 22 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen