Undi18 paksa parti politik beri perhatian kehendak belia, kata penganalisis


Raevathi Supramaniam

Parti politik perlu mengubah pendekatan dan retorik ketika mendekati pengundi muda terutama apabila Undi18 dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2021.

ARVIND De Silva yang berusia 19 tahun gembira kerana mahkamah akhirnya memerintahkan kerajaan untuk melaksanakan Undi18 pada akhir tahun ini.

Tempoh lebih setahun sekatan Covid-19 memberinya banyak masa untuk mengikuti politik Malaysia dengan teliti, dan beliau tidak sabar untuk menyingkirkan ahli politik yang bermain kad perkauman dan tidak berhubung dengan belia. 

Pelajar seni bina Universiti Melbourne itu memberitahu The Malaysian Insight adalah penting bagi belia untuk mengambil bahagian dalam pemilihan kerana generasi lebih tua tidak memahami apa yang diperlukan oleh generasi masa kini.

“Ramai wakil di Parlimen yang sudah agak berumur dan tidak mewakili majoriti demografi di negara ini. Pengundi lebih muda akan mewujudkan perwakilan lebih meluas di Parlimen,” katanya.

“Anak muda tidak mudah berpolitik berdasarkan kaum, mereka lebih mementingkan dasar sebenar yang mempengaruhi mereka.”

Arvind mahu melihat isu seperti pendidikan dan sukan diberi lebih penumpuan.

Sentimen seperti ini menunjukkan yang parti politik perlu mengubah pendekatan dan retorik ketika mendekati pengundi, kata Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann.

Ketua pakatan reformasi pilihan raya itu berkata apabila golongan beliau ditambahkan dalam daftar pemilih, parti politik akan berada di bawah tekanan untuk meletakkan calon yang dapat mendekati generasi itu.

“Bagi mendapatkan undi belia, parti politik akan berada di bawah tekanan untuk meletakkan calon muda yang dapat lebih dekat dengan aspirasi golongan muda.

“Mereka juga akan mengemukakan lebih banyak polisi yang berpusatkan kepada anak muda dalam manifesto mereka,” katanya.

Fann berkata tidak seperti generasi lebih berusia, belia kemungkinan besar tidak mempunyai kesetiaan yang kuat terhadap mana-mana parti.

Oleh itu, parti politik harus melihat dasar yang mengutamakan pendidikan dan peluang pekerjaan lebih baik untuk meraih undi, katanya, sambil menambah isu bangsa dan agama, yang membentuk generasi politikus lebih tua, tidak akan berjaya.

Pada 3 September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan Undi18 menjelang akhir tahun untuk membolehkan golongan belia mengundi pada pilihan raya umum akan datang, yang dijadualkan selewat-lewatnya pada 2023.

Pindaan Perlembagaan untuk menurunkan usia mengundi kepada 18 daripada 21 diluluskan dengan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019, yang diluluskan oleh Dewan Negara pada 25 Julai tahun yang sama dan diwartakan dua bulan kemudian pada 10 September 2019.

Namun, perubahan dalam pemerintahan dan pandemik Covid-19 menyebabkan pelaksanaannya tertangguh, sementara penganalisis juga mendapati membenarkan anak muda berusia 18 tahun untuk mengundi mungkin tidak menguntungkan beberapa parti politik.

Tindakan undang-undang difailkan oleh dua kumpulan anak muda untuk memaksa kerajaan agar tidak menangguhkan lagi pelaksanaannya, dan selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuching, aktivis Undi18 sekarang berharap agar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikuti dahuluan dalam kes serupa.

Terdapat kira-kira 1.2 juta rakyat Malaysia ketika ini yang berusia 18 hingga 20 tahun, menurut anak muda yang memfailkan tindakan undang-undang.

Tidak jelas parti mana untung

Sementara itu, penganalisis politik Oh Ei Sun mengingatkan hanya kerana sebilangan besar pemuda - berusia 21 tahun ke atas - memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ia bukan secara automatik bermaksud kumpulan baharu pengundi berusia 18 hingga 20 tahun pada pilihan raya akan datang.

“(Sokongan untuk pembangkang) sebahagian besar benar, tetapi hanya melibatkan kawasan bandar dan pinggiran bandar,” katanya.

Oh berkata, parti Islam PAS sebenarnya boleh mempengaruhi undi pemuda di luar bandar.

“Di kawasan luar bandar, anda akan mendapati PAS sudah menjalankan kerja mereka selama ini dengan mewujudkan sekolah agama dan brainwash banyak pengundi luar bandar - muda dan tua.

“Mereka akan dapat menggerakkan jentera pengundi muda ke kawasan luar bandar.”

Susulan itu, Oh berkata masih terlalu awal untuk menentukan kesan sepenuhnya pelaksanaan Undi18.

“Saya rasa masih terlalu awal untuk mengetahui apakah Undi18 pada akhirnya akan menguntungkan pembangkang atau parti kerajaan, terutama PAS dan parti yang disokongnya.”

Siapa pun yang pengundi muda putuskan untuk disokong tidak penting berbanding fakta yang mereka tahu boleh menggunakan hak demokratik, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

“Yang penting sekarang adalah meningkatkan kesedaran politik di kalangan pemuda untuk membantu mereka membuat keputusan yang tepat ketika membuang undi.

“Paling penting adalah memberi mereka maklumat mengenai pengundian dan terserah kepada siapa yang ingin mereka pilih.

“Selagi mereka keluar untuk mengundi, saya sudah cukup gembira, tidak masalah siapa yang mereka pilih,” kata ahli Parlimen PKR itu. – 22 September, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen