Aktivis muda beri PKR kelebihan dekati belia, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Penyertaan aktivis muda ke dalam PKR akan memberi kelebihan kepada parti itu untuk meraih undi golongan belia pada PRU15, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2021.

PENYERTAAN beberapa aktivis muda ke dalam PKR baru-baru ini akan memberi kelebihan kepada parti itu untuk meraih undi golongan belia pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kata penganalisis politik.

Pada 16 September lalu, bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim bersama 19 lagi anak muda, antaranya aktivis bebas Sarah Hadi dan peguam Asheeq Ali Sethi Alivi umum menyertai PKR.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata meski penyertaan aktivis muda itu dilihat sebagai satu kelebihan kepada PKR, masih banyak usaha yang perlu dilakukan parti itu untuk mendapat sokongan golongan belia.

“Ia satu kelebihan, tetapi tidak boleh juga kata PKR (automatik) akan dapat sokongan belia. Namun, ia satu permulaan baik, dan mereka perlukan aktivis muda untuk kekal relevan.

“Undi belia sudah pasti akan jadi kekuatan pada pilihan raya umum akan datang. Tambahan pula, Undi 18 akan dilaksanakan tidak lama lagi,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Undi 18 merujuk kepada penurunan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan akan melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik selewat-lewatnya 31 Disember tahun ini seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuching.

Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember ini bagi membolehkan golongan belia mengundi pada pilihan raya umum akan datang. 

Dianggarkan 1.2 juta anak muda Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun akhirnya diberi peluang untuk mengundi buat kali pertama pada PRU15 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan 2023.

Pada 16 September lalu, bekas pemimpin pelajar Adam Adli Abdul Halim (duduk, tengah) bersama 19 lagi anak muda  umum menyertai PKR. – Gambar Facebook, 22 September, 2021.

Pengarah Program Iman Research Badrul Hisham Ismail berkata langkah PKR menerima penyertaan aktivis muda menandakan ia sedar kurangnya pemimpin belia dalam parti itu.

Dengan menerima aktivis muda ini sebagai ahli sekali gus membuka jalan bagi PKR mendekati belia kerana Adam Adli dan Asheeq Ali memang sudah terkenal dalam kalangan golongan itu.

“PKR tahu penglibatan belia dalam parti kurang. Dengan menerima muka-muka baharu, lebih mudah untuk mereka dekati pengundi muda pada pilihan raya.

“Mereka (aktivis) tidak perlu diperkenalkan lagi, orang tahu siapa mereka. Jadi lebih mudah kerana mereka memang telah dikenali ramai,” kata Badrul kepada The Malaysia Insight.

Adam Adli ketika ditanya media selepas majlis menyerahkan borang menyertai PKR pada Khamis lalu berkata parti itu dipilih kerana ia sebuah landasan politik berbilang kaum, dan gerakan Reformasi sejak 1998 telah mencetus banyak perubahan dalam negara.

Asheeq pada sidang media sama berkata keputusan untuk melibatkan diri dalam politik bukanlah satu perkara mudah, tetapi percaya ia jalan terbaik untuk memperjuangkan isu melibatkan belia seperti pengangguran.

Tawaran terbaik

Prof Ahmad Marthada Mohamed dari Universiti Utara Malaysia berkata parti-parti lain mungkin akan mencontohi PKR mendapatkan sokongan belia.

“Parti lain sudah tentu mahu mereka dilihat relevan dan akan cuba mencontohi PKR. Kalau bukan dengan mempelawa aktivis muda menyertai mereka pun, setidak-tidaknya akan mula memberi lebih banyak sokongan kepada belia dalam parti mereka.

“Parti-parti lain perlu bersaing untuk meraih undi belia. (Siapa) yang beri tawaran terbaik kepada anak muda akan dapat undi mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 22 September, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen