PERDANA Menteri Jepun Yoshihide Suga akan ke Amerika Syarikat (AS) pada 23-26 September bagi menghadiri sidang kemuncak Dialog Keselamatan Kuadrilateral (Quad), kata Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato pada Selasa.
“Perdana menteri Suga akan berlepas ke AS pada 23 hingga 26 September bagi menghadiri sidang kemuncak empat penjuru. Para pemimpin dijangka menyentuh topik penting berkaitan isu serantau termasuk memerangi Covid-19,” lapor Sputnik memetik kenyataan Kato pada satu sidang media.
Tokyo juga berharap dapat mempromosikan konsep Indo-Pasifik terbuka dan bebas menerusi sidang kemuncak itu, tambah pegawai itu.
“Rundingan dua hala antara pemimpin Jepun dan AS di luar sidang kemuncak sedang diatur,” kata Kato.
Buat pertama kali, sidang kemuncak Quad, iaitu forum strategik tidak rasmi melibatkan AS, Jepun, Australia dan India akan diadakan di Washington pada 24 September. – Bernama, 21 September, 2021.
Komen