Semburan kabus nano tak sesuai untuk manusia, kata KP kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengingatkan ada sesetengah semburan kabus nano boleh menyebabkan iritasi pada kulit, saluran pernafasan dan sistem pencernaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

SEMBURAN kabus nano tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan alat disinfeksi itu boleh menyebabkan kegatalan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan mengambil berat tentang perkara itu berikutan laporan media mempersoalkan keselamatan dan penggunaannya terhadap manusia.

“Ingin dijelaskan, larutan disinfeksi yang dinyatakan ini adalah bertujuan untuk nyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini adalah kerana sesetengah larutan disinfeksi ini boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan,” tambahnya.

Menjawab laporan berita, Dr Noor Hisham berkata penyemburan disinfeksi melalui kabus nano juga tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual.

“Mutakhir ini, semburan kabus nano mula mendapat perhatian umum untuk digunakan sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan Covid-19. Ramai beranggapan penggunaan alat ini berupaya menghapuskan virus di udara dan juga di permukaan.

“Walau bagaimanapun, keberkesanan penggunaan semburan kabus nano untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut untuk menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan, serta tempoh masa pendedahan,” tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata ketika ini ada beberapa larutan disinfeksi sedia ada yang dikenal pasti berkesan terhadap SARS-CoV-2 atau virus yang menyebabkan Covid-19.

Ini termasuk alkohol 70%-90%, hidrogen peroksida, timol, ammonia, dan larutan berasaskan klorin, katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, senarai larutan disinfeksi yang berkesan untuk SARS-CoV-2 boleh diperolehi di laman sesawang US Environmental Protection Agency yang menjadi rujukan seluruh dunia.

Katanya, semburan ini menghasilkan titisan halus bersaiz nano yang banyak digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk kosmetik, minyak wangi, penggunaan domestik dan industri.

“Alat ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan termasuk kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair yang digunakan,” katanya.

Alat ini terdapat dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti alat penyembur, penyembur jenis pegang sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri, katanya.

Laporan berita telah menunjukkan alat pembasmi kuman digunakan di kedai, kenderaan, dan rumah, untuk pembersihan. – 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen