POLIS Pakistan pada Selasa berjaya menangkap suspek utama yang dituduh merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan yang mencetuskan kemarahan di seluruh negara dan menimbulkan kebimbangan terhadap pembunuh bersiri yang sedang menyerang kanak-kanak di bandar Kasur.
Pembunuhan Zainab Fatima Ameen, 6, adalah mangsa ke-12 yang didapati dirogol dan dibunuh di Kasur dalam radius dua kilometer dalam tempoh dua tahun lalu, mencetuskan rusuhan dengan ribuan menyerbu stesen polis dan membakar rumah ahli politik, menuduh pihak berkuasa tidak bertindak.
Shahbaz Sharif, ketua menteri bagi wilayah Punjab di mana terletaknya Kasur, mengumumkan penangkapan Imran Ali pada sidang akhbar lewat Selasa.
“Pembunuh Zainab telah ditangkap, namanya Imran, dia berusia 24 tahun dan penduduk Kasur, dia seorang pembunuh bersiri,” kata Sharif.
Sharif menambah pihak berkuasa menjalankan ujian DNA ke atas 1,150 orang dan DNA Ali “100%” sepadan dengan bukti yang diambil dari tempat kejadian.
“Kemudian dalam ujian polygraph, pelakunya mengaku semua perbuatan salahnya, kami mempunyai rakaman video,” kata Sharif.
Polis berkata penemuan awal mendapati DNA menghubungkan Ali dengan pembunuhan Zainab.
Penyiasat juga mendapati DNA yang sama pada enam daripada 12 mangsa, menurut pegawai perubatan.
“Ali tinggal di lorong bersebelah Zainab,” kata seorang pegawai polis di Kasur kepada AFP.
Seorang lagi pegawai kanan polis berkata, Ali ditangkap beberapa hari selepas pembunuhan tetapi kemudian dibebaskan oleh pihak berkuasa selepas menafikan penglibatannya.
“Tertuduh ditangkap sebagai suspek dalam serbuan pintu ke pintu,” kata pegawai yang enggan mendedahkan namanya.
“Dia melarikan diri dari bandar dan pergi ke bandar lain selama beberapa hari tanpa mengetahui dia di bawah pemerhatian,” katanya, mengesahkan pengakuan yang dibuat.
Pembunuhan Zainab mencetuskan kemarahan di seluruh Pakistan dengan dua orang terbunuh dalam rusuhan di Kasur dan hashtag #JusticeForZainab yang menjadi trending di media sosial, dengan selebriti, ahli politik pembangkang dan rakyat menuntut tindakan dilakukan.
Stesen televisyen berulang kali menyiarkan rakaman CCTV mengejutkan yang menunjukkan kanak-kanak malang itu berjalan berpegangan tangan dengan lelaki tidak dikenali, yang mungkin merupakan saat-saat akhir hayatnya.
Ekoran pembunuhan Zainab, polis mengumpulkan ratusan orang dan menjalankan ujian DNA pada lebih banyak lagi di kawasan sekitar, tetapi gagal memperoleh keputusan konklusif, membawa kepada tuduhan ketidakcekapan.
Laporan BBC minggu lalu menuduh polis atas pembunuhan seorang lelaki yang disalah tuduh dalam salah satu kes pembunuhan sebelum itu.
Kasur terkenal kerana penderaan seksual, selepas pihak berkuasa menemui sindiket pedofilia besar di bandar itu pada 2015.
Sekurang-kurangnya 280 kanak-kanak didera secara seksual dirakam oleh lelaki yang kemudiannya memeras ugut keluarga mereka, mengancam membocorkan rakaman itu. – AFP, 24 Januari, 2018.
Komen