Penerbangan Libya-Malta disambung semula selepas 7 tahun


Langkah itu diambil selepas menteri pengangkutan kedua-dua negara menandatangani perjanjian untuk mempermudah pelaburan asing dan memulakan penerbangan. – Gambar EPA, 21 September, 2021.

LIBYA dan Malta menyambung semula penerbangan dari kedua-dua negara pada Isnin, sejak dihentikan pada 2014 akibat perang saudara di Libya.

Langkah itu diambil selepas menteri pengangkutan kedua-dua negara menandatangani perjanjian untuk mempermudah pelaburan asing dan memulakan penerbangan.

Buat masa ini, terdapat empat penerbangan setiap minggu, lapor Agensi Anadolu.

Minggu lalu, Perdana Menteri Malta, Robert Abela dan rakan sejawatannya dari Libya, Abdul Hamid Dbeibeh membincangkan isu-isu berkaitan migrasi, kesihatan dan ekonomi dalam pertemuan di Valetta, ibu negara Malta.

Dalam sidang media selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin sepakat untuk memudahkan peluang perdagangan dan perniagaan di kedua-dua negara. 

Abela berkata Malta sedia membantu memastikan kestabilan dan keamanan di Libya.

Memandangkan kedua-dua negara telah bekerjasama dalam bidang kesihatan dan tenaga selama bertahun-tahun, beliau berkata kerjasama itu akan diteruskan termasuk membabitkan pemeriksaan sempadan dan menentang migrasi serta jenayah terancang.

Abela berkata Malta telah membuka kedutaannya di Tripoli, ibu negara Libya dan mula memproses permohonan visa.

Sementara itu, Dbeibeh berkata kedua-dua negara merancang untuk bekerjasama dalam keselamatan negara dan serantau bertujuan melindungi kepentingan kedua-dua negara.

Katanya, jawatankuasa bersama akan ditubuhkan bertujuan memudahkan pelaburan asing dan untuk memulakan penerbangan dari lapangan terbang Libya. – Bernama, 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen