Aukus atau rakus?


SELEPAS pengunduran Amerika Syarikat (AS) dari bumi Afghanistan, saya ada berfikir apakah langkah AS seterusnya dalam mengukuhkan kuasa sebagai kuasa besar dunia maka sekarang sudah mendapat jawapan iaitu dengan penubuhan Aukus, pakatan strategik ketenteraan baru antara AS, United Kingdom (UK) dan Australia.

Sebelum ini telah saya jangka AS akan bertumpu di Laut China Selatan secara khusus walaupun Aukus akan lebih berada di Asia.

Siapa yang panggil AS dan sekutunya ke Laut China Selatan? Ini yang tidak seronok kerana tanpa segan dan malu, AS dengan “White’s Man Burden” menyondol masuk ke sini. Lebih menarik lagi AS menarik rakan dunia akhiratnya bekas penjajah Britain the Great untuk bersamanya. 

Sebagai sebuah negara yang hidupnya bergantung kepada ekonomi perang, AS tidak akan berdiam diri selepas mengundur diri daripada Afghanistan, akan terus mencari modal baharu untuk mendanai ekonominya.

Kali ini ditumpukan kepada kapal selam dalam perjanjiannya dengan Ostolia sebutan orang kampung zaman dahulu, negara yang pasukan tenteranya pernah berada di negara kita melaui perjanjian pertahanan lima negara antara Malaysia, Australia, Singapura, New Zealand dan Britain. 

Apakah negara-negara di Asia Tenggara tidak boleh merundingi  secara bebas dengan China sehingga perlukan Aukus? Negara manakah yang terdesak perlukan Aukus. PM Australia ada menelefon PM Malaysia memberitahu rasional Aukus tetapi tentulah kita mengetahui ia adalah panggilan diplomasi sahaja. 

Malah Malaysia telah menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai Aukus yang bakal memangkin perlumbaan senjata nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata, pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara itu.

Nampaknya AS sengaja hendak mencetuskan keributan dengan kerakusan kuasa di rantau ini apabila menzahirkan pembentukan Aukus. Bahkan penzahiran dinyatakan melalui perjanjian pembangunan pertahanan mengunakan kapal selam. 

AS dan sekutunya telah membuat kekacauan dan keributan di Timur Tengah terutamanya menawan Iraq dan Libya sehingga memporak-perandakan kedua negara tersebut, bersekutu dengan pengganas Islam di Syria (walaupun ada isu yang tidak bersetuju dengan kerajaan pimpinan Basyar Al Assad) dan melalui regim pengganas Yahudi mengganasi Gaza, kemudian menakluki Afghanistan, mereka ingin pula mencetuskan ketidakstabilan di rantau Asia Timur terutamanya di kawasan Laut China Selatan dengan usaha menegangkan hubungan dengan China. 

Setelah perang dagang AS-China reda seketika, kini AS di bawah Presiden Joe Biden meneruskkan usaha bekas Presiden AS Donald Trump berseteru dengan China.  

Medan peperangan geopolitik ialah di laut sama ada di Laut China Selatan (LCS), Selat Melaka, Lautan Hindia atau Laut Pasifik; ia adalah permukaan atau dasar laut. 

Aukus memang rakus dan Australia adalah kawasan dengan situasi geopolitik yang strategik. Ia berdekatan dengan LCS dalam jaringan Selat Melaka, Laut Sulu, Selat Bali, kawasan laut di antara Australia dan Papua New Guinea dikenali sebagai Laut Arafura dan kawasan laut bersempadan dengan Indonesia. 

Semua ini membuka laluan ke Lautan Hindi dan dalam radius dan jangkauan Australia dan Aukus. Daripada Australia, Aukus boleh memantau pergerakan kapal-kapal tentera laut dan kapal selam China misalnya.

AS pandai mengambil kesempatan apabila mendapati Australia yang mengalami masalah dalam memuktamadkan perjanjian kapal selam dengan Peranchis (teringat isu pembelian kapal selam Malaysia dan Perancis) dan menawarkan pakej kapal selam pacuan tenaga nuklear serta pemindahan teknologi dengan Australia.

Perdana Menteri Australia Scott Morrison mempertahankan keputusan kerajaannya untuk membatalkan perjanjian pembelian kapal selam dari Perancis.

Menurut PM Morrison, pihaknya telah menimbulkan “keprihatinan mendalam dan serius” Canberra mengenai perjanjian pembelian kapal-kapal selam Perancis itu.

PM Morrison berkata Australia prihatin keupayaan kapal selam Perancis itu tidak akan dapat memenuhi kepentingan strategik Australia.

Australia adalah negara kedua di mana AS memindahkan tekknologi kapal selam pacuan nuklear selepas Britain. Selepas lebih 65 tahun Inggeris berada di Asia Tenggara kini mereka kembali ke rantau ini. Ini mencetuskan kebimbangan akan langkah tiga negara ini dalam mencetuskan ketegangan di sini. 

Dalam hubungan ini kementerian luar negara Korea Utara berkata perikatan baru Indo-Pasifik bersama AS dan kontrak kapal selam negara itu dengan Australia boleh mencetuskan “persaingan nuklear” di wilayah tersebut.

Nampaknya gaya medan pertempuran masa depan ialah menggunakan tenaga nuklear, AI, teknologi dasar laut, di mana kapal selam pacuan nuklear boleh berada di dasar laut dengan lebih lama, memantau pergerakan musuh dari jarak jauh atau menggunakan dron dasar laut.

China dan Aukus kelihatan tidak mempedulikan prinsip Asean dengan Zofpan (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) dan negara anggotanya yang telah menandatangani Perjanjian Asia Tenggara Zon Bebas Senjata Nuklear pada 1995. 

Malah China telah membina pengkalan tenteranya di pulau-pulau yang menjadi pertikaian negara anggota Asean dengan China. Pakatan Aukus boleh membawa Australia kepada melengkapkan dirinya dengan kapal selam bersenjata nuklear. 

Apabila gajah sama gajah yang rakus kuasa bergaduh, akhirnya rumput yang kena pijak. – 21 September, 2021.

* Ismail Hashim Yahaya, pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran di Universiti Selangor (Unisel) 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen