MANGSA korban serangan dua “bom kereta” di bandar Benghazi, Libya pada malam Selasa meningkat kepada sekurang-kurangnya 22 orang, kata seorang jurucakap hospital.
Lebih 20 orang lagi cedera dan jumlah kematian mungkin meningkat, kata Fadia al-Barghathi, jurucakap Hospital Al-Jala di bandar itu, kepada AFP.
Sebuah kenderaan yang diisi bahan letupan meletup di depan sebuah masjid di kawasan kejiranan pusat Al-Sleimani, kata sumber keselamatan.
Kereta kedua meletup 30 minit kemudian di kawasan yang sama, menyebabkan lebih ramai kecederaan di kalangan anggota keselamatan dan orang awam.
Libya digegarkan dengan huru-hara sejak pemberontakan 2011 yang menggulingkan dan membunuh diktator Moamer Kadhafi, dengan dua pihak berkuasa bersaing dan beberapa kumpulan militan untuk mengawal negara yang kaya dengan sumber minyak itu.
Wakil tentera Khalifa Haftar pada Julai mengumumkan “pembebasan sepenuhnya” Benghazi, tiga tahun selepas pasukannya melancarkan operasi ketenteraan untuk merampas bandar daripada pihak pejuang yang menjadikannya kubu kuat selepas revolusi.
Bagaimanapun, pertempuran dan serangan di bandar berterusan, termasuk terhadap fasiliti diplomatik dan pasukan keselamatan.
Haftar menyokong Parlimen yang berpusat di timur laut Libya, sementara kerajaan perpaduan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Tripoli berusaha keras memperkukuhkan kuasanya di seluruh negara. – AFP, 24 Januari, 2018.
Komen