AS pulangkan tablet Gilgamesh berusia 3,500 tahun kepada Iraq


Tablet kuno Gilgamesh, yang diperoleh seorang pengumpul Amerika Syarikat bersama artifak Iraq yang lain untuk dipamerkan di Washington Museum of the Bible, akan diserahkan kepada pegawai Iraq di Institusi Smithsonian pada 23 September ini. – Gambar EPA, 21 September, 2021.

AMERIKA Syarikat secara rasmi akan memulangkan kembali tablet Gilgamesh berusia 3,500 tahun yang diimport secara haram kepada Iraq minggu ini, umum Unesco pada Isnin.

Tablet kuno itu diperoleh pengumpul AS bersama artifak Iraq lain untuk dipamerkan di Washington Museum of the Bible dan pada 23 September ini ia akan diserahkan kepada pegawai Iraq di Institusi Smithsonian.

Unesco menyebut pemulangan tablet itu, bersama dengan 17,000 artifak lain yang telah dipulangkan kepada Iraq pada Julai sebagai “kemenangan memerangi penyeludupan haram barang budaya.”

“Kecurian dan pemerdagangan artifak kuno terus menjadi sumber dana utama bagi kumpulan pengganas dan organisasi jenayah terancang yang lain,” kata agensi yang berpusat di Paris itu dalam satu kenyataan.

Dikatakan ketika kumpulan pelampau Negara Islam menguasai sebahagian besar Iraq dan Syria pada 2014-2019, lokasi dan muzium arkeologi Iraq dijarah secara sistematik.

Fragmen langka, yang menceritakan urutan mimpi dari epik Gilgamesh, adalah salah satu daripada banyak artifak kuno dari Iraq dan Timur Tengah yang dikumpulkan oleh David Green, juwatan pemilik rangkaian kedai kraf Hobby Lobby.

Ia dirampas oleh Jabatan Kehakiman AS pada 2019, dua tahun setelah Green membuka muzium yang dikhaskan kepada sejarah Kristian kuno di Washington. – AFP, 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen