2 pelajar cedera insiden tembakan di sekolah di AS


DUA pelajar berusia 17 tahun tercedera dalam satu insiden tembakan di sebuah sekolah menengah di Virginia, Amerika Syarikat (AS) semalam, kata pihak berkuasa.

Suspek berjaya ditahan selepas melarikan diri dari tempat kejadian.

“Seorang individu – lelaki bawah umur kini dalam tahanan polis,” kata Jabatan Polis Newport News dalam satu kenyataan.

Insiden berlaku di Sekolah Tinggi Heritage.

Polis berkata mangsa seorang lelaki dan seorang perempuan itu dibawa ke hospital, cedera terkena tembakan.

Selepas setahun pembelajaran diadakan secara atas talian, sekolah di AS mula kembali dibuka secara fizikal, mencetuskan kembali insiden tembakan di kawasan sekolah, dengan beberapa kejadian kecil dilaporkan dalam waktu terdekat ini.

Dalam insiden semalam, pelajar kemudian diarahkan keluar kelas dan berkumpul di gelanggang tenis, di mana ibu bapa diminta menjemput mereka pulang.

Kedua-dua mangsa mengenali suspek, kata polis.

Polis menolak laporan wujudnya penembak aktif di beberapa sekolah lain di Newport News.

Pada 2018, seramai 17 mangsa maut dalam insiden tembakan rambang di sekolah menengah di Parkland, Florida. – AFP, 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen