Sekatan perjalanan bagi penumpang divaksin tamat di AS


AS tamat larangan perjalanan bagi semua penumpang udara bermula November ini jika lengkap vaksin dan menjalani ujian serta pengesanan kontak. – Gambar AFP, 21 September, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) menamatkan larangan perjalanan bagi semua penumpang udara bermula November ini jika lengkap vaksin dan menjalani ujian serta pengesanan kontak.

Koordinator Maklum Balas Koronavirus untuk presiden AS, Jeffrey Zients berkata pendekatan konsisten yang baru akan mula dilaksanakan pada awal November.

“Penumpang hanya perlu menunjukkan pasport vaksin dan memberikan bukti ujian Covid-19 negatif yang diambil dalam masa tiga hari.

“Paling penting, warga negara asing yang terbang ke AS diharuskan diberi vaksin sepenuhnya.

“Bagaimanapun, sekatan pergerakan kenderaan dari Kanada dan Mexico kekal sama kerana tiada perubahan status mengenai dasar sempadan di darat,” katanya.

Kelonggaran sekatan perjalanan itu menandakan perubahan ketara oleh pentadbiran Presiden AS Joe Biden dan menjawab permintaan besar dari sekutu Eropah ketika hubungan diplomatik agak tegang.

Namun, pelbagai bentuk arahan keselamatan tetap ada untuk mengurangkan penyebaran virus itu, yang mengorbankan lebih 690,000 nyawa di AS.

Bagaimanapun, masih belum jelas apakah peraturan itu hanya membabitkan vaksin yang dipersetujui AS atau sebaliknya, dengan Zients berkata ia akan ditentukan Pusat Kawalan Penyakit AS.

Penduduk AS yang belum divaksin sepenuhnya masih dapat masuk tetapi hanya jika membuktikan ujian negatif dan membabitkan sehari perjalanan manakala pelitup muka diwajibkan dalam penerbangan ke AS.

“Sistem perjalanan antarabangsa baru ini mengikuti sains untuk memastikan perjalanan udara antarabangsa AS tetap selamat,” katanya.

Pada masa ini hanya warga AS, penduduk dan warga asing dengan visa khas dibenarkan masuk ke AS dari kebanyakan negara Eropah. – AFP, 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen