301 kematian Covid-19 baharu, jumlah maut hampir 24,000 


Noel Achariam

Menurut data KKM, cuma lapan mangsa meninggal dunia akibat Covid-19 semalam. Selebihnya sebanyak 293 kematian adalah kes tertunggak yang sebelum ini tidak dilaporkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 301 kematian baharu angkara Covid-19 pada tengah malam, menjadikan jumlah korban di seluruh negara kepada 23,744.

Menurut data KKM, cuma lapan mangsa meninggal dunia akibat Covid-19 semalam. Selebihnya sebanyak 293 kematian adalah kes tertunggak yang sebelum ini tidak dilaporkan.

Kes tertunggak tidak diberi tarikh dan akan dikesan mengikut tarikh mangsa diumum meninggal dunia.

KKM berkata laporan tertunggak itu kerana pekerja kesihatan terlalu sibuk dalam beberapa bulan terakhir ini, menyebabkan siasatan dan laporan kematian tertangguh.

Dua petunjuk kepada laporan maut harian Covid-19 adalah kematian harian dan kematian tertunggak yang rata-ratanya dalam tempoh tujuh hari.

Purata tujuh hari kematian Covid-19 semalam adalah sebanyak 108.

Menurut laman web CovidNow KKM, 92 daripada kematian yang dilaporkan adalah kematian di luar hospital.

Selangor mencatatkan 130 daripada jumlah kematian, diikuti Johor sebanyak 52 kes, Kelantan (23), Pulau Pinang (22), Sabah (19), Perak (15), Kuala Lumpur (13), Sarawak (8), Kedah (6) Pahang (4), Terengganu (4), Melaka (3), Negeri Sembilan (1) dan Perlis (1).

Tidak ada kematian dilaporkan di Labuan atau Putrajaya.

Semalam, jumlah kes Covid-19 di Malaysia menurun buat hari kelima berturut-turut dengan 14,345 kes dilaporkan pada tengah hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Angka tersebut adalah yang terendah dalam tempoh hampir dua bulan. Kali terakhir negara mencatat sedikit kes adalah pada 22 Julai dengan 13,034 kes. – 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen