Demi keadilan sosial, jangan anak tirikan ekonomi luar bandar


EKONOMI luar bandar di Malaysia memerlukan “suntikan penggalak” atau booster shot dengan kadar segera untuk memulihkan ekonomi rakyat secara holistik. 

Pakej-pakej rangsangan ekonomi sebelum ini lebih tertumpu kepada keperluan masyarakat bandar dan kekurangan inisiatif untuk ekonomi luar bandar telah menyebabkan segmen ini lebih teruk terjejas akibat wabak Covid-19 berbanding kawasan bandar.

Menurut Jabatan Perangkaan, gaji dan upah penengah di luar bandar telah jatuh sebanyak 14.1% untuk tahun 2020, berbanding 11.6% untuk pekerja di kawasan bandar. 

Apa yang lebih mengejutkan, nilai gaji dan upah penengah di luar bandar telah jatuh ke bawah paras yang dilihat pada tahun 2016. 

Selain itu, negeri-negeri yang mempunyai saiz kawasan luar bandar yang signifikan telah menyaksikan kemerosotan tahap kemiskinan. 

Kelantan, misalnya yang mana hampir separuh isirumahnya tinggal di kawasan luar bandar, mencatatkan peningkatan kemiskinan mutlak yang ketara kepada 21.2% pada tahun 2020 daripada 12.4% (2019). 

Terengganu juga menyaksikan peningkatan kemiskinan mutlak kepada 12% berbanding 6.1% (2019).

Justeru, Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (Parti Amanah Negara) mencadangkan perkara-perkara berikut:-

i) Majlis Pemulihan Negara perlu  memperkenalkan pelan strategi yang khusus untuk melonjakkan aktiviti ekonomi luar bandar menerusi pemantapan sentimen perniagaan setempat, pengukuhan pasaran buruh dan pemulihan kuasa pembeli. 

ii) Belanjawan 2022 yang bakal diumumkan dalam lebih kurang 2 bulan lagi perlu memperuntukkan lebih banyak dana perbelanjaan pembangunan untuk membina semula ekonomi luar bandar. Untuk tahun 2020 dan 2021, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM6.3 bilion dan RM6.7 bilion. Oleh itu, kerajaan digesa untuk Belanjawan 2022, sejumlah RM8 bilion dapat diperuntukkan dan dibahagikan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak dengan lebih adil dan secara bersasar. 

iii) Menghampiri Rancangan Malaysia ke-12 yang bakal diumumkan, pelan 5-tahun ini perlu untuk lebih cenderung untuk membina ekonomi luar bandar dengan lebih ketara. Sektor pekerjaan di kawasan luar bandar harus diperkukuhkan, di mana peluang pekerjaan untuk tenaga separa mahir dan berkemahiran tinggi harus digandakan. Kerajaan harus berusaha mengurangkan keperluan graduan Malaysia yang terpaksa meninggalkan kampung halaman kerana tiada pekerjaan yang sesuai dari segi kualiti dan gaji.

Secara umumnya, kawasan luar bandar harus bangkit menceburi lebih banyak aspek perniagaan yang mempunyai nilai tambah. Bukan itu sahaja, lebih banyak pembekal atau “vendor” untuk industri-industri penting yang perlu diwujudkan di kawasan luar bandar. Ini seterusnya akan mengukuhkan rantaian bekalan atau “supply chain” ekosistem perniagaan dan industri Malaysia terutama sektor pertanian. 

Sebarang peruntukan dan dasar ekonomi bagi kawasan luar bandar harus bersifat bersasar atau mikro, serta bersesuaian dengan keperluan rakyat setempat. 

Kita tidak boleh memperkenalkan satu dasar generik bagi kawasan luar bandar dan mengharapkan dasar ini setimpal dengan keperluan di seluruh Malaysia. Misalnya, keperluan sosio-ekonomi rakyat Baling, Kedah berbeza dengan rakyat Tumpat, Kelantan.

Dorongan kerajaan amat perlu bagi mencapai usaha membangunkan kawasan luar bandar secara tuntas. Maka, kerajaan perlu menggalakkan lebih banyak pelaburan awam serta swasta di seluruh negara, dan bukannya tertumpu kepada beberapa negeri atau kawasan bandar sahaja. 

Lihat sahaja prestasi pelaburan diluluskan Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama 2021, di mana hampir 80% daripada amaun pelaburan diluluskan ini datang daripada lima negeri sahaja. Seperti biasa, negeri Kelantan dan Terengganu, antara lain, sukar dilihat dalam kategori lima penerima pelaburan yang tertinggi.

Akhir sekali, kami menegaskan dalam usaha untuk mengukuhkan ekonomi luar bandar, maka usaha-usaha yang konstruktif perlu diambil untuk mengubah keadaan ini. Pastinya, akan ada cabaran yang tinggi untuk mengubahkan kawasan luar bandar supaya sesuai dengan kehendak perniagaan dan pelabur, namun, negara tidak boleh terus berlengah. 

Pembangunan negara harus dikecapi bersama dan inilah hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dahulu. Jika tidak, kesenjangan pembangunan dan sosio-ekonomi luar bandar dan bandar di Malaysia akan terus melebar. 

Ekonomi luar bandar tidak boleh terus dianak-tirikan dalam arus pembangunan negara dan fiskal kerajaan. Prinsip keadilan sosial harus diangkat bagi memastikan kemiskinan dalam kalangan rakyat terutama di luar bandar dapat dikurangkan. – 21 September, 2021.

* Faiz Fadzil, Pengerusi Biro Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Parti Amanah Nasional

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen