Algeria kecam akhbar siar gambar Masjid Besar tanpa menara


Djamaa El-Djazair, masjid berstruktur moden dengan menaranya paling tinggi di dunia iaitu 267 meter. Ia dibina dengan kos lebih AS$1 bilion dan mengambil tempoh tujuh tahun untuk siap. – Gambar AFP, 21 September, 2021.

AKHBAR berbahasa Perancis di Algeria, El Watan dikecam teruk kerana menyiarkan gambar Masjid Besar Algier tanpa menaranya.

Gambar yang disiarkan itu menunjukkan upacara pengebumian bekas presiden Abdelaziz Bouteflika pada Ahad dalam suasana sederhana dua tahun selepas beliau meletak jawatan ketika berdepan protes besar-besaran.

Tetapi gambar itu diubah suai dengan memadam gambar menara Masjid Besar di belakangnya.

Tindakan itu mencetuskan komen orang ramai yang marah di media sosial.

Kementerian komunikasi mengecam tindakan akhbar itu dan melabelkan tindakan mengubah suai gambar berkenaan sebagai perbuatan “aneh dan tiada justifikasi”.

Kementerian hal ehwal agama turut menyelarnya sebagai satu pencabulan dan berkata El Watan perlu dibawa ke mahkamah dan berdepan tindakan.

Akhbar itu menerusi laman webnya memohon maaf dan berkata kehilangan menara itu berpunca daripada kesilapan teknikal.

“Ia tidak ada kaitan dengan sebarang ideologi,” kata akhbar itu dalam satu kenyataan.

Presiden parti Islam, Movement of Society and Peace (MSP) Abderrezak Makri berkata gambar yang diubah suai itu menunjukkan kebencian terhadap simbol keagamaan Islam.

Masjid Besar Algeria adalah masjid ketiga terbesar dunia selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Ia juga masjid terbesar di Afrika, dengan menaranya paling tinggi di dunia iaitu 267 meter.

Masyarakat tempatan memanggilnya sebagai Djamaa El-Djazair, masjid itu berstruktur moden dan menjadi simbol megalomania Bouteflika, dengan kos lebih AS$1 bilion menggunakan dana awam dan mengambil tempoh tujuh tahun untuk siap.

Solat pertama didirikan pada Oktober 2020, setahun selepas Bouteflika meletak jawatan apabila tentera bertindak selepas berminggu-minggu protes jalanan berlangsung membantah pencalonannya pada pilihan raya untuk penggal kelima.

Bouteflika meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 84 tahun. – AFP, 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen