Kerajaan lemah atasi isu pekerja asing, kata pemimpin industri


Bernard Saw

Program Rekalibrasi Pulang membenarkan Pati pulang ke negara asal secara sukarela, manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja membolehkan majikan mengambil pekerja asing bekerja secara sah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

PELAN rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dilaksanakan Putrajaya gagal menangani isu kekurangan tenaga kerja, kata kumpulan industri.

Presiden Majlis Perabot Malaysia (MFC) Khoo Yeow Chong berkata masalah tenaga kerja di sektor perkilangan akan berulang-ulang selagi pelan berkenaan tidak melibatkan langkah-langkah seperti mencegah pekerja asing kerap bertukar kerja.

Khoo memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan pekerja asing sering bertukar kerja kerana banyak kilang terpaksa tutup akibat sekatan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 sejak tahun lepas.

Antara sebab lain adalah pekerja ditawarkan gaji lebih daripada RM1,200 yang ditawarkan majikan asal, katanya. Menurut Khoo, keadaan ini sudah tentu tidak adil kepada majikan yang telahpun membayar cukai dan bayaran lain untuk menggaji pekerja asing secara sah.

Pelan rekalibrasi Pati merangkumi dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja. 

Program Rekalibrasi Pulang membenarkan Pati pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan, manakala Program Rekalibrasi Tenaga Kerja  membolehkan majikan mengambil pekerja asing bekerja secara sah.

Ia dilancarkan pada hujung tahun lalu, dan dilanjut sehingga Disember tahun ini untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Khoo berkata melalui pelan rekalibrasi boleh diperketatkan lagi dengan melarang pekerja asing melompat kerja.

“Oleh kerana semua pekerja sudah sedia ada dalam Malaysia dan kerajaan mempunyai rekod mereka, maka masalah lompat kerja melibatkan pekerja asing dapat diatasi.

“Jika tidak, masalah sama akan berulang,” katanya.

Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Michael Kang Hua pula berkata majikan juga menghadapi masalah memperbaharui permit pekerja asing, sehingga menyebabkan jumlah mereka yag tidak berdokumen meningkat.

Ini kerana prosedur dan syarat di bawah pelan rekalibrasi mengelirukan, malah tiada pegawai yang bertanggungjawab untuk menangani isu ini.

“Ramai (majikan) bertanya kepada saya (tentang prosedur), kerana semua orang tak tahu apa perlu dibuat. Pejabat Imigresen pun belum buka (secara fizikal).

“Kerajaan masih belum beri penerangan jelas apa yang langkah-langkah yang sepatutnya majikan perlu ambil,” kata Kang kepada The Malaysian Insight.

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham sebelum ini berkata bagi memudahkan cara dan memastikan tenaga kerja sentiasa mencukupi, semua pekerja asing di Malaysia hendaklah secara automatik diberi penempatan semula (rehiring), melainkan mereka memilih untuk pulang ke negara asal.

Kelulusan automatik ini bagaimanapun katanya perlu diberi hanya kepada pekerja asing yang tidak mempunyai rekod jenayah dan lulus pemeriksaan kesihatan.

Tarik pekerja tempatan

Kang berkata sudah tiba masanya Putrajaya melaksanakan usaha bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan digantikan dengan rakyat tempatan.

Isu ini tambahnya akan dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara akan datang.

“Adakah kerajaan akan berikan latihan yang sewajarnya kepada rakyat tempatan? Katalah sebuah kilang perlukan 3,000 pekerja, adakah kerajaan boleh lakukannya?

“Jika benar-benar mahu usir semua pekerja asing, kerajaan perlu pastikan ia mampu menggantikan setiap seorang pekerja asing yang dihantar pulang dengan seorang rakyat tempatan,” jelas Kang.

Mengenakan tindakan ke atas kilang dan syarikat yang menggajikan Pati tidak akan menyelesaikan masalah, tegasnya. – 21 September, 2021.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen