Kes sembuh Covid-19 atasi kes jangkitan baharu buat hari ke-4 


Ravin Palanisamy

Daripada 14,345 kes jangkitan baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini, hanya 212 atau 1.5% adalah kes kategori 3, 4 dan 5.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2021.

JUMLAH kes sembuh Covid-19 terus mengatasi jumlah kes jangkitan baharu buat hari keempat berturut-turut, menyebabkan pengurangan penggunaan kemudahan rawatan rapi di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 16,814 kes sembuh direkodkan hari ini berbanding 14,345 kes jangkitan baharu. 

Menurutnya jumlah pesakit yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga turun kepada 1,167 berbanding 1,194 semalam. 

Dr Noor Hisham berkata daripada 1,167 kes, 906 adalah kes Covid-19 yang disahkan, manakala baki 261 adalah kes yang disyaki dan kes di bawah siasatan. 

636 pesakit masih memerlukan alat bantuan pernafasan, menurun 29 kes berbanding 665 yang direkodkan semalam. 

Daripada jumlah keseluruhan yang perlukan alat bantuan pernafasan, 407 adalah kes Covid-19 yang disahkan dan 229 disyaki dan kes bawah siasatan. 

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata daripada 14,345 kes jangkitan baharu, hanya 212 atau 1.5% adalah kes kategori 3, 4 dan 5. 

Ketua pengarah kesihatan berkata baki 14,133 individu atau 98.5% adalah bawah kategori 1 dan 2, yang tidak menunjukkan gejala dan bergejala ringan. 

Selain itu katanya 23 kluster baharu turut dikesan setakat tengah hari ini yang menyumbang kepada 529 kes. 

Daripada 23 kluster yang dikesan katanya, 13 adalah berkait tempat kerja (310 kes), lapan penularan komuniti (165 kes), satu kluster kumpulan berisiko tinggi (30 kes) dan satu dilabel sebagai kluster import (24 kes).

Kluster import dikesan di Johor dan ie melibatkan kru kapal yang berlabuh di Tompok Utara, di timur perairan Johor. Kapal berkenaan mempunyai sejarah pelayaran ke Singapura dan Indonesia sebelum berlabuh di Johor pada 15 September. 

Termasuk kluster import, Johor merekodkan kluster tertinggi iaitu tujuh kluster, diikuti Kelantan dengan lima dan Sarawak empat. 

Perak merekodkan tiga kluster baharu manakala Sabah, Selangor, Melaka dan Pahang masing-masing merekodkan satu klsuter baharu. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster di seluruh negara kepada 5,305 yang mana 1,335 masih aktif dan 3,970 ditamatkan.– 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen