PERMOHONAN kuarantin di rumah bagi pengembara warga tempatan dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia termasuk pemegang pas program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang tiba dari luar negara boleh dibuat secara dalam talian mulai esok, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri kesihatan berkata pemohon boleh memohon melalui portal Home Quarantine Application. Buat masa ini permohonan perlu dikemukakan melalui e-mel ke Kementerian Kesihatan.
“Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) telah menambah baik sistem bagi permohonan kuarantin di rumah. Selepas ini, tak perlu e-mel lagi.
“Hanya perlu ke laman web KKM (Kementerian Kesihatan) mulai 8 pagi esok dan ke bahagian ‘Home Quarantine’ serta mengisi satu borang yang disediakan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Kelulusan akan diberi selepas KKM membuat penilaian risiko, tambahnya, dan permohonan hendaklah dibuat dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum tiba di negara ini.
Khairy berkata sistem permohonan melalui e-mel sebelum ini menyebabkan banyak permohonan tertunggak.
“Kita ada 6,000 permohonan tertunggak kerana e-mel perlu dibuka dan diproses satu persatu.
“Saya telah minta supaya prosesnya dipermudahkan lagi dan mereka berjaya lakukannya dalam masa seminggu,” katanya.
Menurutnya lagi, permohonan menerusi portal Home Quarantine Application juga akan mengurangkan kesesakan di pusat kuarantin, selain orang ramai tidak perlu lagi mengeluarkan wang untuk menjalani kuarantin di hotel.
Namun, mereka diingatkan supaya patuh kepada arahan kuarantin, tambah Khairy.
“Kami beri anda arahan kuarantin di rumah, jadi duduk di rumah. Kami akan pantau. Ada cara untuk memantau dan memastikan arahan dipatuhi.”
Khairy berkata KKM kini sedang menguji teknologi menggunakan sistem pengesanan lokasi GPS untuk mengesan individu di bawah perintah kuarantin wajib di rumah.
Pada 8 Ogos lalu, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin umum pengembara warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kediaman di Malaysia yang pulang atau tiba dari luar negara dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dengan syarat mereka sudah disuntik dua dos vaksin. – 20 September, 2021.
Komen