Zahid tidak lantik Datasonic untuk kontrak cip pasport, kata peguam  


Hailey Chung Wee Kye

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 tuduhan pecah amanah, 27 tuduhan pengubahan wang haram, dan lapan tuduhan rasuah melibatkan dana Yayasan Akalbudi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

TIDAK berasas sama sekali jika Ahmad Zahid Hamidi melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd pada tahun 2015 untuk kontrak kerajaan bernilai RM318.75 juta, kata pasukan pembelaannya dalam perbicaraan kes rasuahnya hari ini.

Peguam yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu Hamidi Mohd Noh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pelantikan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan. 

Hamidi berkata, peranan Zahid dalam kontrak itu hanya untuk memberikan bantuan dan maklumat kepada Kementerian Kewangan.

Dua daripada 47 tuduhan rasuah yang dihadapi oleh Zahid adalah kerana menerima rasuah RM5 juta dan RM1 juta lagi pada 26 April 2017 dari Datasonic, yang didakwa sebagai ganjaran kerana melantik syarikat pengurusan perkhidmatan teknologi maklumat untuk membekalkan cip pasport Malaysia selama lima tahun.

“Kontrak itu harus melalui prosedur perundingan langsung, dan perolehan tersebut hanya dapat disetujui oleh Kementerian Kewangan,” kata Hamidi kepada hakim Collin Lawrence Sequerah.

“Penglibatan Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu dalam pemberian kontrak kepada Datasonic hanya terhad untuk memberi bantuan dan maklumat kepada Kementerian Kewangan sebelum pelantikan tersebut diselesaikan oleh Kementerian Kewangan.”

Peguam itu berkata perbincangan awal berhubung rundingan langsung mengenai kontrak tersebut hanya melibatkan Datasonic dan Kementerian Kewangan.

“Datasonic menulis surat untuk perhatian menteri kewangan ketika itu Najib Razak, dan bukan kepada tertuduh, bagi menunjukkan minat syarikat untuk menjadi sebahagian dari kontrak,” katanya.

Hamidi berkata, bukti bekas timbalan setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan, Dr Uzailee Abdul Latif menunjukkan bahawa pemberian kontrak itu betul.

Saksi pendakwaan ke-30 memberi keterangan bahawa beliau tidak menerima arahan daripada sesiapa pun untuk menulis surat bagi mendapatkan jawapan Kementerian Dalam Negeri mengenai potensi Datasonic untuk melaksanakan projek itu.

Hamidi seterusnya berkata bukan perkara luar biasa untuk Datasonic diberikan kontrak kerajaan kerana mempunyai reputasi yang baik.

Timbalan pengarah urusan Datasonic, Chew Ben Ben, yang merupakan saksi pendakwaan ke-34, sebelum ini berkata kumpulan syarikat itu sudah menerima sekitar 30 projek kerajaan.

Beliau juga berkata anggaran nilai projek yang diterima Datasonic daripada kerajaan adalah sekitar RM3 bilion.

“Oleh itu, pemberian kontrak lain kepada Datasonic tidak boleh menimbulkan keraguan kerana syarikat itu mempunyai kepakaran dan pengalaman tersendiri dalam melaksanakan tugas yang diperlukan dari mereka,” kata Hamidi.

Selain itu, Hamidi juga berkata kontrak tersebut memberi keuntungan kepada kerajaan kerana Datasonic bersetuju untuk mengurangkan sejumlah RM6.25 juta.

Oleh itu, kerajaan menjimatkan 1.92% daripada harga yang dicadangkan pada awalnya sebanyak RM325 juta, katanya.

Hari ini adalah hari kelapan penghujahan lisan oleh peguam Zahid untuk mengemukakan hujah terakhir mereka sebelum mahkamah memutuskan sama ada dia harus membela diri.

Presiden Umno itu menghadapi 47 pertuduhan - 12 tuduhan pecah amanah, 27 tuduhan pengubahan wang haram, dan lapan tuduhan rasuah - melibatkan jutaan ringgit milik badan amal Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bersambung esok.  – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen