14,345 kes baharu Covid-19, angka terendah di Selangor dalam 3 bulan


Ravin Palanisamy

Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini merupakan yang terendah dalam hampir dua bulan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2021.

JUMLAH kes jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia menurun buat hari kelima berturut-turut selepas merekodkan 14,454 kes setakat tengah hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah yang direkodkan hari ini merupakan yang terendah dalam hampir dua bulan. Kali terakhir negara merekodkan kes rendah adalah pada 22 Julai dengan 13,034 kes.

Noor Hisham berkata Sarawak terus merekodkan kes tertinggi iaitu 3,611 diikuti oleh Johor dengan 1,598 kes dan Selangor 1,365 kes.

Jumlah kes di Selangor hari ini merupakan yang terendah sejak tiga bulan lalu. Kali terakhir negeri itu merekodkan kes terendah adalah pada 21 Jun dengan 1,364 kes.

Sebelum ini Selangor paling lama merekodkan kes harian tertinggi iaitu 136 hari, bermula 23 April hingga September dan kes harian paling tinggi di negeri itu adalah 8,792 kes.

Sementara itu, jumlah kes di Lembah Klang yang terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur (307) dan Putrajaya (11) menyumbang kepada1,683 kes atau 12% daripada jumlah keseluruhan kes harian yang direkodkan hari ini.

Negeri lain yang turut merekodkan kes baharu adalah Sabah dengan 1,255 kes, Pulau Pinang (1,170), Perak (1,090), Kelantan (1,050), Kedah (967), Terengganu (804), Pahang (779), Melaka (162), Negeri Sembilan (125) dan Perlis (51).

Sementara itu Labuan yang merupakan satu-satunya wilayah yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara tidak merekodkan sebarang kes hari ini. Ini merupakan hari kedua berturut-turut Labuan tidak merekodkan sebarang kes.

Sementara itu menurut Kementerian Kesihatan 18.45 juta orang atau 78.8% populasi dewasa telah divaksin sepenuhnya.

Data menunjukkan  219,081 dis vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang mana 60,773 adalah penerima dos pertama dan 158,308 melengkapkan vaksinasi mereka.

Jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan di bawah program itu setakat ini adalah 40,375,056. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen