RM6 juta Datasonic kepada yayasan amal Zahid sumbangan politik, kata pembela


Hailey Chung Wee Kye

SAKSI dari Datasonic Technologies Sdn Bhd mengesahkan pemberian RM6 juta syarikat itu kepada yayasan amal Ahmad Zahid Hamidi bukan wang penghargaan kerana melantik syarikat itu sebagai kontraktor kerajaan, kata pihak pembelaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

SAKSI dari Datasonic Technologies Sdn Bhd dalam perbicaraan Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan jumlah RM6 juta syarikat itu kepada yayasan amal bekas menteri dalam negeri bukan bermaksud penghargaan kerana melantik syarikat itu sebagai kontraktor kerajaan, kata pihak pembelaan

Peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tidak ada tuntutan atau permintaan “atau apa pun bentuk rayuan” yang telah dibuat oleh tertuduh.

Hamidi memetik keterangan bekas ketua pegawai eksekutif Datasonic Abu Hanifah Noordin dan bekas timbalan pengarah Datasonic Chew Ben Ben untuk menyokong hujah pembelaan tersebut.

“Ia adalah bukti Hanifah yang ia (RM6 juta) bermaksud sumbangan politik. Hanifah jelaskan dengan sumbangan politik, ia juga bermaksud perbuatan amal,” kata Hamidi mengenai dua cek yang bernilai sama dengan jumlah itu.

Ahmad Zahid berhadapan dua tuduhan menerima rasuah RM5 juta dan RM1 juta pada 26 April 2017 dari Datasonic, yang dikatakan sebagai ganjaran kerana melantik syarikat pengurusan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) itu untuk membekalkan cip pasport Malaysia selama lima tahun.

Tuduhan tersebut adalah sebahagian daripada keseluruhan 47 tuduhan berkaitan rasuah dihadapi oleh presiden Umno melibatkan dana dari badan amalnya, Yayasan Akalbudi.

Hamidi memberitahu mahkamah hari ini, Chew juga telah memberi keterangan dalam soal jawab balas sebelum ini yang tuduhan rasuah adalah “fitnah” dan “tidak benar”.

Keterangan saksi Chew itu turut menyatakan beliau telah mencadangkan kepada Hanifah agar sumbangan politik diberikan kepada Barisan Nasional, melalui Ahmad Zahid.

“Sudah jelas Chew adalah orang yang mencadangkan sumbangan politik tersebut,” kata Hamidi.

Peguam itu berkata Datasonic juga membuat pengisytiharan kepada Bursa Malaysia pada 19 Oktober 2018, menjelaskan para pengarahnya tidak buat pembayaran kepada Ahmad Zahid untuk menang projek yang mereka terima pada 2015.

Hari ini adalah hari kelapan penghujahan lisan oleh peguam Ahmad Zahid untuk mengemukakan hujah terakhir sebelum mahkamah memutuskan sama ada Ahmad Zahid harus membela diri atau tidak.

Sebelum ini, Hanifah, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan 32, berkata beliau berpendapat dua cek berjumlah RM6 juta yang beliau tandatangani atas permintaan Chew akan diberikan kepada Umno dan BN sebagai sumbangan politik.

Chew, saksi ke-34 pendakwaan, sebelum ini berkata beliau mencadangkan jumlah itu kepada Hanifah setelah bertemu dengan Ahmad Zahid di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Seri Satria Putrajaya.

“Apa yang terlintas dalam fikiran saya ialah BN perlukan wang untuk pilihan raya. Saya kemudian bertanya kepada Zahid adakah Hanifah dan saya dapat beri dana politik kepada BN dan berapa banyak yang diperlukan.

“Zahid berkata, terpulang kepada saya berapa banyak yang ingin saya berikan kepada BN,” kata Chew semasa perbicaraan pada Februari tahun lalu.

Chew juga berkata Zahid mengarahkannya menyiapkan cek untuk Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi dimiliki Zahid.

Hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bertanya kepada Hamidi mengapa Chew sebagai ahli perniagaan akan mendedahkan dirinya kepada amalan rasuah dengan memberikan sumbangan politik kepada yayasan tersebut.

“Bukankah beliau cenderung menjauhkan diri dari amalan rasuah?” tanya Collin.

Hamidi mengemukakan tidak ada rasuah yang terlibat.

“Saksi itu datang ke mahkamah dan berkata seadanya. – ini adalah fitnah. Ketika mereka beri wang itu, mereka tidak berniat memberikannya sebagai wang rasuah.”

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bersambung esok. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen