Rentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan SOP, kata Hishammuddin


Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein menjelaskan kebenaran rentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan SOP PPN, namun ia perlu diteliti jawatankuasa pengurusan pandemik yang dipengerusikan perdana menteri terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 September, 2021.

KEBENARAN merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin berkata keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam PPN negeri-negeri yang berkenaan.

“Tapi syor datang daripada menteri bertanggungawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Program Vaksinasi “Back To School” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Pada 14 September, Hishammuddin mengumumkan kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan SOP PPN hanya kepada 10 SOP berbanding 181 sekarang, bagi memudahkan orang ramai untuk memahaminya. 

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa; Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz selain beliau sendiri, akan diadakan esok.

“Mesyuarat akan memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya.

Katanya mesyuarat esok juga telah menjemput Menteri Pelancongan Nancy Shukri, bagi memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain.

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu juga akan hadir esok, bagi menerangkan tentang potensi kelonggaran-kelonggaran lain dalam sektor sukan.

Hishammuddin berkata pada minggu hadapan Radzi pula dijadual memberi taklimat kepada Menteri Kuartet mengenai vaksinasi dalam kalangan pelajar, serta perkembangan terkini menjelang pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 3 Oktober depan. – Bernama, 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen