KERAJAAN Laos telah mengenakan sekatan pergerakan di Vientiane dan melarang rentas wilayah akibat peningkatan kes Covid-19.
Sejak 2020, negara komunis itu berjaya mengekang pandemik Covid-19, sehingga pada Mac tahun ini, ia melaporkan kurang dari 60 kes, jumlah itu rendah kerana kurangnya ujian saringan.
Namun lonjakan sejak pertengahan April telah menyebabkan jumlah kes terus meningkat dan pada Sabtu negara itu melaporkan 467 kes baharu, jumlah tertinggi dalam sehari.
Datuk bandar Vientiane, di mana sebahagian besar kes dikesan, mengumumkan sekatan ketat pada Ahad untuk dua minggu, mengarahkan rakyatnya duduk di rumah kecuali dengan tujuan mendapatkan makanan, ubat-ubatan atau ke hospital.
Perjalanan antara tujuh wilayah lain yang dilanda Covid-19 turut dilarang, dan kuarantin 14 hari dikenakan kepada individu yang masuk ke Vientiane.
Semua perhimpunan awam termasuk majlis keagamaan dilarang, termasuk melepak di luar dan menjual makanan jalanan, menurut media KPL yang dikendalikan kerajaan.
Peningkatan kes pada hujung minggu dikaitkan dengan kluster baharu berkait kilang pakaian di negara itu, dengan sebilangan besar pekerja dijangkiti varian Delta.
Laos setakat ini mencatatkan sejumlah 19,399 kes dengan 16 kematian.
Menurut kementerian kesihatan negara itu, pihaknya telah memberikan lebih 4.5 juta dos vaksin - kebanyakannya Sinopharm yang disumbangkan oleh China selain Pfizer-BioNTech yang diperoleh melalui program Covax untuk negara berpendapatan rendah.
Media kerajaan melaporkan sebarang pelanggaran sekatan di Vientiane akan dikenakan denda tiga juta kip (AS$310). – AFP, 20 September, 2021.
Komen