Singapura lapor lebih 1,000 kes Covid-19 buat hari kedua


Kali terakhir Singapura melaporkan jangkitan lebih 1,000 adalah pada April tahun lepas. – Gambar EPA, 20 September, 2021.

SINGAPURA yang kini menghadapi gelombang jangkitan Covid-19 sejak 23 Ogos telah mencatatkan lebih 1,000 kes baharu untuk hari kedua berturut-turut pada Ahad.

Dalam data yang dikeluarkan pada Ahad, Kementerian Kesihatan republik itu memaklumkan telah mengesan sejumlah 1,012 kes baharu - termasuk 919 dalam masyarakat, 90 di asrama pekerja migran, dan tiga kes import.

Pada Sabtu, sebanyak 1,009 kes jangkitan dikesan di Singapura. Kali terakhir republik ini melaporkan lebih 1,000 kes harian adalah pada April tahun lalu.

Menurut kementerian sepanjang 28 hari lalu, daripada 11,196 individu yang dijangkiti, 98.1 peratus tidak mengalami gejala atau bergejala ringan, 1.7 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dan 0.04 peratus meninggal dunia.

Sehingga tengah hari Ahad, jumlah keseluruhan kes ialah 77,804 dengan 7,144 kes aktif.

Setakat ini, 60 orang telah meninggal dunia kerana Covid-19 di republik ini.

Pada 18 September, 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 manakala 84 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos. – Bernama, 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen