Nur Sajat ditahan di Bangkok, lapor media


Pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat, atas kes berpakaian wanita yang masih berlangsung di Mahkamah Syariah Shah Alam sejak 2018. – Gambar Instagram, 20 September, 2021.

USAHAWAN kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September dan sedang diusahakan untuk dibawa pulang ke Malaysia, lapor Harian Metro.

Nur Sajat, 36, yang berhadapan kes berpakaian wanita di Mahkamah Syariah Shah Alam dan mempunyai satu waran tangkap terhadapnya, dilaporkan sedang dalam proses memohon suaka dan berlindung di Australia.

Pihak polis yang dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan laporan itu.

“Kita akan keluarkan satu kenyataan rasmi mengenai penahanan itu,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd Jalil Hassan ketika dihubungi.

Nur Sajat ditahan hasil kerjasama pihak risikan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa Thailand, selepas beliau dipercayai lolos ke negara itu awal Mac lepas.

Beliau dikesan di sebuah kondominium mewah di Bangkok pada 4 Jun dan sejak itu diintip oleh pihak berkuasa Thailand, lapor akhbar itu.

Nur Sajat ditahan dalam serbuan di kondominium itu pada petang 8 September bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand.

“Semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia,” kata sumber yang dipetik Harian Metro.

Laporan itu juga menyebut kerajaan Malaysia sudah membatalkan pasport Nur Sajat.

Sehari selepas ditahan Nur Sajat dihadapkan ke mahkamah di Bangkok atas kesalahan imigresen dan dibebaskan dengan jaminan. Beliau dilaporkan masih berada di Bangkok dan perlu melapor diri kepada pihak berkuasa setiap 14 hari.

Laporan itu juga menyebut semasa ditahan Nur Sajat menunjukkan kepada pihak berkuasa imigresen kad pelarian yang diperolehinya daripada Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

“Hasil soal siasat dilakukan pegawai imigresen Thailand, Nur Sajat memaklumkan dia sedang mendapatkan kebenaran berpindah dan berlindung di Australia.

“Semakan mendapati Nur Sajat memperoleh kad UNHCR yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok,” kata sumber.

Laporan itu juga memetik sumber berkata Nur Sajat mahu berpindah ke Australia susulan ugutan bunuh selepas beliau mengisytiharkan dirinya keluar Islam.

Pada 6 Januari 2021, Nur Sajat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas tuduhan sebagai seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di premis perniagaannya di Seksyen 16 Shah Alam pada 23 Februari 2018.

Beberapa hari selepas itu, Nur Sajat membuat pengumuman melalui satu video di media sosial membayangkan beliau mahu keluar Islam dan sudah menjalani pembedahan tukar jantina. – 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen