4 ditemui maut di sempadan Belarus-Poland


Poland pada minggu lalu mengenakan perintah darurat selama 30 hari yang melarang bukan penduduk dari kawasan itu di sepanjang sempadannya dengan Belarus. – Gambar EPA, 20 September, 2021.

EMPAT orang ditemui maut semalam di sempadan Belarus-Poland, seminggu selepas Warsaw mengenakan perintah darurat susulan kedatangan pendatang.

Pengawal sempadan Poland menambah bahawa mereka juga sudah menemui lapan migran yang keletihan terperangkap di dalam paya di sepanjang sempadan. Tujuh daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ribuan pendatang terutamanya dari Timur Tengah – melintasi atau cuba menyeberangi sempadan dari Belarus ke negara anggota EU yang berdekatan dengan Latvia, Lithuana dan Poland.

EU mengesyaki kemasukan itu diatur oleh orang kuat Belarus Aleaxander Lukashenko sebagai pembalasan sekatan terhadap rejimnya.

“Semalam tiga mayat ditemui di sempadan Belarus,” kata pegawal sempadan Poland semalam menerusi Twitter.

Individu itu dijumpai di tiga tempat berbeza dan kemungkinan dikenal pasti sebagai pendatang tanpa izin, kata jurucakap pengawal sempadan Anna Michalska kepada agensi berita Poland PAP.

Mayat keempat, seorang wanita Iraq ditemui semalam di sempadan Belarus.

“Mayat wanita yang tidak berpenampilan Slavia ditemui dalam jarak satu meter dari sempadan Belarus-Poland,” kata seorang pegawai sempadan Belarus kepada agensi berita negara Belta.

Belta berkata, tiga kanak-kanak, seorang lelaki dan seorang wanita warga emas ditemui berhampiran mayat. Kesemua mereka adalah warganegara Iraq, tambah Belta.

Pengawal sempada Poland menerusi Twitter pada awal pagi Ahad menulis, mereka juga sudah menghabiskan beberapa jam bagi menyelamatkan pendatang yang terperangkap di kawasan paya di tepi sungai Suprasl di tepi sempadan Belarus.

“Lapan pendatang (lima lelaki dan tiga wanita) diselamatkan, tujuh daripadanya dimasukkan ke hospital,” kata pengawal sempadan menerusi Twitter sambil menambah bahawa anggota bomba, penyelamat dan polis juga mengambil bahagian dalam operasi berkenaan.

Poland pada minggu lalu mengenakan perintah darurat selama 30 hari yang melarang bukan penduduk dari kawasan itu di sepanjang sempadannya dengan Belarus, kali pertama negara itu mengenakan langkah tersebut sejak kejatuhan komunisme pada 1989.  – AFP, 20 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen